66 sah terbunuh pesawat terhempas di Iran


Pesawat itu terhempas di kawasan Semirom, pergunungan Zagros. – Gambar EPA, 18 Februari, 2018.

SEBUAH pesawat penerbangan domestik terhempas di pergunungan Zagros, Iran hari ini membunuh semua 66 orang penumpang dan anak kapal, kata pegawai.

Penerbangan Aseman Airlines itu meninggalkan Lapangan Terbang Mehrabad di Tehran pada jam 8.00 pagi untuk ke bandar Yasuj di daerah Isfahan, kata Pengarah Komunikas Korporat Aseman Mohammad Tabatabai.

Pesawat itu terhempas di pergunungan Dena, dalam kawasan Zagros sekitar 23 kilometer dari Yasui dan 500 kilometer dari Tehran, katanya kepada media negara itu Irib.

“Selepas pencarian di kawasan itu, malangnya kami perlu memaklumkan yang pesawat itu terhempas. Semua kesayangan kita terbunuh dalam kejadian itu,” katanya lagi.

Pesawat itu membawa 60 penumpang termasuk seorang kanak-kanak dan enam orang anak kapal, katanya.

Sebuah helikopter yang dihantar perkhidmatan kecemasan Iran tidak berjaya mendarat di kawasan kejadian kerana cuaca buruk, kata jurucakap pasukan keselamatan.

Persatuan Bulan Sabit Merah Iran mengatakan mereka sudah menghantar 12 pasukan ke kawasan itu.

“Memandangkan kawasan itu bergunung-ganang, mustahil untuk menghantar ambulans,” kata Moitaba Khaledi jurucakap perkhidmatan kecemasan Iran kepada agensi berita Isna.

Sekatan ekonomi berdekad lamanya menyebabkan Iran hanya dipenuhi dengan pesawat lama yang sukar dipantau dan dimodernkan.

Ia mengalami beberapa tragedi penerbangan, terbaru pada 2014 apabila sebuah pesawat Sepahan terhempas membunuh 39 orang.

Tabatabai berkata pesawat yang terhempas itu adalah jenis ATR-72 dua enjin.

Aseman mempunyai 36 buah pesawat, separuh daripadanya adalah Dutch Fokker 100s untuk 105 penumpang.

Tiga pesawat Boeing 727-200s miliknya berusia hampir sama dengan Revolusi Islam, membuat penerbangan pertama pada 1980.

Pembatalan sekatan ke atas pembelian pesawat adalah syarat utama perjanjian nuklear ditandatangani Iran dengan kuasa besar pada 2015.

Susulan perjanjian itu, Aseman Airlines memuktamadkan perjanjian membeli 30 buah pesawat Boeing 737 MAX berharga AS3 bilion Jun tahun lepas.

Bagaimanapun, jualan itu mungkin terhalang sekiranya Presiden AS Donald Trump mengenakan kembali sekatan ke atas Iran dalam masa terdekat.

AS masih mengenakan sekatan ke atas Iran yang menghalang semua perdagangan dengan negara itu tetapi syarikat penerbangan diberikan pengecualian khas dalam perjanjian nuklear itu.

Boeing juga sedang membina 80 pesawat untuk Iran Air walaupun berdepan kecaman pihak berkuasa AS yang mengatakan syarikat penerbangan AS itu digunakan untuk mengangkut senjata dan tentera ke Syria dan kawasan berkonflik lain.

Jabatan Perbendaharaan AS meluluskan jualan 80 pesawat Boeing dan 100 pesawat Airbus kepada Iran Air. Beberapa pesawat Airbus sudah tiba di Tehran. – AFP, 18 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen