Tenaga buruh, harga makanan haiwan jejas bekalan ayam, kata pengusaha


Khoo Gek San

Pengeluaran ayam dan telur tempatan sentiasa melebihi permintaan pasaran sebanyak 116% dan 104% tetapi berubah pada Oktober tahun lepas apabila pengeluaran lebih rendah berbanding permintaan pasaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2022.

KEKURANGAN bekalan ayam segar baru-baru ini mencetus panik di kalangan pengguna, menyebabkan kerajaan menghentikan eksport ayam segar ke luar negara.

Pemain industri berkata punca kekurangan itu termasuk peranan yang dimainkan oleh orang tengah dan manipulasi penternak ayam.

Bagaimanapun, punca utamanya adalah kerana kekurangan tenaga kerja dan harga makanan ternakan yang melambung tinggi, tambah mereka.

Ahli persatuan penternak ayam kecil dan sederhana Johor, Lau Ka Keng berkata ia disebabkan oleh kekurangan pekerja yang serius di ladang dan harga makanan haiwan akibat perang di Rusia.

“Penternak tidak dapat memenuhi permintaan kerana kami tidak mempunyai pekerja dan harga makanan haiwan meningkat 100%.

“Harga siling untuk 1kg ayam keseluruhan ialah RM8.90, ini bermakna penternak kerugian.”

Lau berkata sebelum pandemik Covid-19, beliau mampu membela 200,000 ekor ayam di tempatnya.

Ketika pekerja asing meninggalkan Malaysia, beliau hanya mempunyai 10 pekerja untuk mengendalikan 100,000 ekor ayam dan menyebabkan pengeluaran berkurangan sebanyak 50%.

Isu kekurangan tenaga kerja bukanlah perkara yang berlaku dalam sekelip mata, katanya.

Ia ditambah dengan harga makanan, yang memberi tekanan besar kepada petani, kata Lau.

Ketika kerajaan menjanjikan subsidi kepada petani, harga siling RM8.90 bertahan terlalu lama, dari Februari hingga Jun, menyebabkan petani mengalami kerugian.

Lau berkata pengeluaran ayam dan telur Malaysia sentiasa melebihi permintaan pasaran sebanyak 116% dan 104% tetapi ia berubah pada Oktober tahun lepas apabila pengeluaran mencapai 52 juta, lebih rendah berbanding permintaan pasaran.

Ia jatuh semula kepada 51.4 juta sebelum naik kepada 61.1 juta pada Disember tahun lepas, yang masih jauh lebih rendah berbanding permintaan pasaran, tambah Lau.

Seorang lagi petani di Melaka yang enggan dikenali berkata beliau tidak mengurangkan pengeluaran tetapi harga makanan haiwan meningkat, dengan kos RM3 lebih bagi setiap pek.

Beliau berkata ketika harga makanan terus meningkat, kerajaan bertegas untuk mengekalkan harga siling rendah bagi ayam.

Ia menyebabkan ramai penternak kurang memberi makan kepada ternakan dan menyebabkan berat ayam berkurangan.

Kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS turut memburukkan lagi keadaan, katanya.

“Melainkan pembekal sanggup berhutang dengan pembekal, kami hampir tidak dapat bertahan. Banyak ladang juga memilih untuk ditutup kerana tidak setuju dengan keseluruhan keadaan ini.”

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Pertanian mengumumkan Khamis lepas yang harga siling RM8.90 akan berterusan sehingga 30 Jun.

Kerajaan menanggung kos keseluruhan sebanyak RM729.43 juta bagi menampung pemberian subsidi harga ayam 60 sen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2022.

Tanpa subsidi ladang rugi

Pengarah urusan pasar raya Mydin Ameer Ali Mydin berkata subsidi 60 sen kepada penternak tidak mencukupi kerana ia bermakna penternak hanya mengaut keuntungan RM1 bagi setiap ayam yang dijual.

“Ini tidak termasuk kos makanan, buruh dan pengeluaran, ia tidak mencukupi.

Beliau juga berkata terdapat kekurangan 30% hingga 40% dalam bekalan ayam segar tetapi nuget ayam masih ada.

“Masih terdapat kekurangan keseluruhan ayam di negeri-negeri, tetapi orang ramai masih boleh membeli bahagian ayam,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Lau berkata birokrasi yang ada dalam permohonan subsidi bermakna ramai belum menerimanya atau permohonan mereka ditolak.

“Kami memohon pada Februari dan tidak menerima apa-apa sehingga sekarang,” katanya.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata subsidi 60 sen itu menyebabkan kerajaan menanggung kos keseluruhan RM729.43 juta.

Bagaimanapun, katanya hanya RM50 juta sudah dibayar, namun tidak menjelaskan alasannya.

Ini adalah kali pertama dalam tempoh 10 tahun penternak ayam memohon subsidi berikutan kawalan harga yang berpanjangan.

“Kawalan harga dilaksanakan sejak Februari, pada masa yang sama kita mengalami kekurangan buruh dan kos makanan haiwan meningkat, bagaimana kita hendak mengekalkan operasi?”

Ramai juga yang meminta subsidi tetapi ditolak kerana kertas kerja tidak lengkap atau ketidakmampuan mereka memenuhi syarat tertentu.

Lau berkata ini menjejaskan terutamanya penternak kecil dan besar.

Berhubung aduan mengenai kelewatan subsidi, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dalam satu kenyataan berasingan berkata ia akan mempercepatkan pembayaran subsidi kepada penternak dan juga memudahkan proses permohonan.

Kementerian melanjutkan tarikh akhir permohonan kepada 5 Jun ini dengan harapan mereka yang belum membuat permohonan masih berpeluang melakukannya.

Bagaimanapun minggu lalu, Ismail Sabri mengumumkan Putrajaya tidak lagi menawarkan subsidi kepada penternak ayam mulai 1 Julai kerana ramai penternak tidak menerima tawaran itu.

“Jadi kita tidak akan beri subsidi kepada petani lagi. Sebaliknya, jumlah itu akan terus kepada ‘rakyat’ yang kami rasa lebih memerlukannya,” katanya. – 7 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen