PASAR raya Kuwait menarik balik produk India dari raknya dan Iran menjadi negara Timur Tengah terbaharu yang memanggil duta India ketika pertikaian semakin meningkat pada Isnin berhubung kenyataan seorang pegawai parti pemerintah mengenai Nabi Muhammad SAW.
Pekerja di kedai Al-Ardiya Co-Operative Society menyimpan timbunan teh India dan produk lain di dalam troli sebagai protes terhadap komen yang dikecam sebagai “Islamofobia”.
Arab Saudi, Qatar dan negara lain di rantau ini, serta Universiti Al-Azhar mengecam kenyataan jurucakap parti Perdana Menteri India Narendra Modi, yang sejak itu digantung tugas.
Di pasar raya di luar bandar Kuwait, guni beras dan rak rempah ratus serta cili ditutup dengan kepingan plastik. Papan tanda bercetak dalam bahasa Arab berbunyi: “Kami menarik balik produk India”.
“Kami, sebagai orang Islam Kuwait, tidak menerima penghinaan terhadap Nabi,” kata Nasser Al-Mutairi, ketua pegawai eksekutif pasar raya kepada AFP.
Seorang pegawai di rangkaian itu berkata boikot seluruh syarikat sedang dipertimbangkan.
Komen jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP), Nupur Sharma mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam.
Kenyataan Sharma semasa perbahasan yang disiarkan di televisyen minggu lalu mencetus pergaduhan di sebuah negeri India dan mendorong tuntutan penahanannya.
Kemarahan merebak ke luar negara hingga ke negara Islam mengenai kenyataan itu.
Parti Modi, yang sering dituduh bertindak menentang minoriti Islam di negara itu, pada Ahad menggantung Sharma kerana menyatakan “pandangan bertentangan dengan pendirian parti” dan berkata ia “menghormati semua agama”.
Sharma berkata di Twitter yang komennya sebagai tindak balas kepada “penghinaan” dibuat terhadap tuhan Hindu Shiva.
“Jika kata-kata saya menimbulkan rasa tidak selesa atau melukakan perasaan agama sesiapa sekalipun, saya dengan ini tanpa syarat menarik balik kenyataan saya,” katanya.
Pada Ahad, Qatar menuntut India memohon maaf atas komen “Islamofobia”, ketika Naib Presiden India Venkaiah Naidu melawat negara Teluk yang kaya dengan gas itu dalam usaha meningkatkan perdagangannya.
Iran mencontohi Qatar dan Kuwait dengan memanggil duta India sebagai protes atas nama “kerajaan dan rakyat”, kata agensi berita IRNA pada Ahad.
Universiti Al-Azhar, salah satu institusi terpenting Islam, berkata komen itu adalah “keganasan sebenar” dan “boleh menjerumus seluruh dunia ke dalam krisis dan peperangan yang boleh membawa maut”.
Dalam kritikan selanjutnya terhadap pegawai India itu, Majlis Kerjasama Teluk, mengutuk, menolak dan mengecam komen berkenaan.
Bahrain juga mengalu-alukan keputusan BJP menggantung Sharma kerana “provokasi terhadap perasaan umat Islam dan hasutan untuk membenci agama”.
Negara Teluk merupakan destinasi utama untuk pekerja luar negara India, menyumbang 8.7 juta daripada jumlah keseluruhan 13.5 juta di seluruh dunia, menurut data kementerian luar India.
Mereka juga pengimport besar hasil dari India dan tempat lain, dengan Kuwait mengimport 95% makanannya menurut menteri perdagangan.
Media Kuwait melaporkan kerajaan meminta New Delhi pengecualian larangan mengejut India terhadap eksport gandum susulan kebimbangan jaminan makanan dan inflasi. – AFP, 6 Jun, 2022.
Komen