Biara Jokhang di Tibet terbakar


Gambar fail menunjukkan pelawat berkunjung ke kuil Jokhang di Lhasa, Tibet untuk menyertai upacara keagamaan Buddha. Kebakaran berlaku di kuil itu semalam tetapi gambar insiden itu disekat dengan pantas di media sosial. – Gambar AFP, 18 Februari, 2018.

KUIL paling suci bagi masyarakat Buddha Tibet, kuil Jokhang terbakar semalam, lapor media tempatan, tetapi tidak ada kemalangan nyawa dilaporkan dan jumlah kerosakan masih belum dapat ditentukan.

Agensi berita Xinhua berkata kebakaran bermula jam 6.40 petang tetapi berjaya dipadamkan dengan cepat. Kuil itu diiktiraf sebagai tapak warisan Unesco, yang menyimpan sejarah 1,300 tahun di kota lama Lhasa.

“Api dapat dipadamkan dengan cepat, dan tidak ada kemalangan jiwa dengan keadaan macam biasa di kawasan itu,” kata akhbar Tibet Daily.

Gambar yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan bumbung satu bahagian di kuil itu terbakar dan mengeluarkan asap tebal.

Tetapi di Twitter, yang disekat di China, rakyat Tibet di luar negara menyatakan gambar dan post mengenai kebakaran itu ditapis dengan segera.

Robert Barnett, seorang pakar Tibet berpangkalan di London menerusi Twitter berkata sumbernya di Lhasa mendakwa polis mengugut sesiapa yang mengedarkan gambar atau berita tidak rasmi tentang kebakaran itu.

Kebakaran berlaku ketika rakyat Tibet menyambut Losar, sambutan tradisional bagi Tahun Baharu Tibet yang bermula pada Jumaat, hari sama sambutan Tahun Baharu Cina.

Kuil itu yang menjadi kawasan penting bagi penganut Buddha ditutup pada hari cuti umum Sabtu.

Jokhang menempatkan salah satu daripada ikon terpenting Buddha di Tibet – Jowo Shakyamuni, tugu yang dipercayai hanya ada tiga sepanjang kehidupan sebenar Buddha, menggambarkan ketika beliau berusia 12 tahun.

Ia juga menyimpan pelbagai artifak budaya yang tidak ternilai harganya, termasuk lebih 3,000 gambar Buddha, dewa dan tokoh sejarah selain manuskrip, menurut Unesco.

China memerintah Tibet sejak 1950-an, dan dituduh cuba mengikis budaya berdasarkan Buddha menerusi penindasan politik dan agama. – AFP, 18 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen