Rakyat tunggu penjelasan PM isu pegawai Israel


SELEPAS beberapa hari berdiam diri tentang isu lawatan pegawai Israel ke Malaysia, kerajaan membuat kenyataan melalui Menteri Luar Anifah Aman.

Rakyat Malaysia amat hairan dan terkejut dengan kenyataan Menteri Luar kita yang bermain silap mata apabila berkata Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menjemput pegawai tertinggi Israel ke Malaysia seolah-olah kerajaan kita tidak dapat mengawal situasi dalam isu ini.

Di manakah kedaulatan negara kita mengawal mereka yang tidak diingini daripada memasuki Malaysia?

Sebelum memohon menjadi tuan rumah Forum UN-Habitat, Malaysia pasti sudah mengetahui syarat bahawa PBB ada peraturan yang mereka akan menghantar jemputan dan ini termasuk kepada Israel dan kita akan terpaksa akur.

Persoalannya, kalau sudah tahu syarat tersebut, mengapa kita ingin meneruskan mengadakan forum itu kerana ini adalah bertentangan dengan polisi negara dan prinsip solidariti persaudaraan kita dengan rakyat Palestin yang dibunuh oleh Israel?

Bukankah ini pendirian tetap Malaysia sejak sekian lama. Hanya dua minggu sebelumnya kerajaan mengadakan demonstrasi bantahan terhadap pemindahan kedutaan Amerika ke Baitulmaqdis dan kekejaman rejim Israel?

Pihak kerajaan melalui Anifah juga ada menyebut bahawa forum ini akan menaikkan “profil” Malaysia!

Sanggupkah kita menggadai maruah perjuangan Palestin semata-mata kerana hendak menaikkan profil diri? Tidakkah ada cara lain yang lebih terhormat tanpa kontroversi yang memalukan negara?

Adakah kita begitu terdesak hendak mengambil hati sahabat Najib Razak iaitu Donald Trump, dan rakan-rakan Israelnya? Atau kita ingin mengikut jejak Arab Saudi yang telah mengadakan hubungan sulit dengan Israel seperti didedahkan oleh menteri Israel sendiri?

Apa jua sebabnya, penjelasan Anifah tidak masuk akal dan cuba memperbodohkan rakyat Malaysia.

Kenyataan beliau seolah-olah seperti seorang anak kecil berkata: “Saya hanya membuka pintu untuk seorang penjahat masuk melalui pintu depan rumah, tetapi saya tidak tahu ia seorang pencuri.”

Kemasukan pegawai tertinggi Israel ke Malaysia bukan patut dijawab oleh menteri luar sahaja, tetapi juga perlu dijawab oleh menteri dalam negeri yang bertanggungjawab tentang isu imigresen dan juga perdana menteri yang mengetuai kerajaan hari ini.

Berdiam diri menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan juga sikap orang yang tidak tahu bagaimana mahu menjawab setelah melakukan sesuatu yang dimarahi rakyat.

Rakyat Malaysia masih menunggu jawapan tentang peristiwa memeranjatkan negara dan juga dunia Islam yang pernah pada suatu ketika dahulu memandang Malaysia dengan penuh hormat sebagai pembela rakyat Islam dan Palestin yang dizalimi. – 18 Februari, 2018.

* Raja Bahrin Shah ialah ahli Parlimen Kuala Terengganu.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen