BATALION 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menumpaskan satu sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai membabitkan rampasan bernilai RM1.13 juta dalam dua serbuan di sebuah resort di Senai dekat Kulai, Johor semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Mohd Razali Melin berkata dalam Op Kontraban kira-kira jam 9.30 pagi itu, pihaknya turut menahan enam individu termasuk tiga warga asing berusia 28 hingga 60 tahun.
Beliau berkata, semuanya terdiri daripada tiga lelaki tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar serta seorang lelaki warga Singapura.
“Hasil siasatan mendapati sindiket ini beroperasi lebih empat tahun dan beberapa siri tangkapan dilakukan ke atas sindiket ini namun mereka masih meneruskan operasi penyeludupan.
“Dipercayai lelaki warga Singapura berusia 60 tahun itu yang dikenali sebagai Kenny adalah ketua atau dalang utama sindiket itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Razali berkata, tangkapan dan rampasan berkenaan berjaya memutuskan sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai di sekitar Kulai dan bandar raya Johor Bahru.
Beliau berkata, semua barangan itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967. – Bernama, 5 Jun, 2022.
Komen