Kemboja mengundi pilihan raya tempatan


Hun Sen pemimpin paling lama berkhidmat di dunia, memerintah Kemboja selama lebih 37 tahun. – Gambar fail EPA, 5 Jun, 2022.

RAKYAT Kemboja keluar mengundi pada pilihan raya tempatan hari ini ketika parti pembangkang cuba untuk menghalang cengkaman kuasa Perdana Menteri, Hun Sen selama beberapa dekad menjelang pilihan raya negara tahun depan.

Undian daripada 1,652 komuniti atau kelompok kampung dilihat akan mencetus nadi politik negara menjelang pilihan raya negara pada 2023.

Bagaimanapun, pada pilihan raya itu, Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen menunjukkan kekuatan dengan perarakan besar-besaran kereta, trak, motosikal dan tuk-tuk oleh penyokongnya.

Namun semua tertumpu kepada prestasi Candlelight Party (CP) yang diasaskan oleh Rainsy pada 1995 yang mendaftarkan calon untuk bertanding hampir semua komuniti dan mendapat sokongan padu.

“CP adalah harapan terakhir untuk rakyat walaupun kami mengalami ugutan dan ancaman serta gangguan politik,” kata setiausaha agung parti, Lee Sothearayuth kepada AFP.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Liz Throssell, memberi amaran CP menghadapi persekitaran politik melumpuhkan selepas sekurang-kurangnya 6 calon dan aktivis ditahan menjelang pengundian.

Bagaimanapun, pakar politik Kemboja dan pengarang ‘Hun Sen’s Cambodia’, Sebastian Strangio, berkata CP berada pada kedudukan yang baik untuk menarik penyokong dan satu-satunya parti yang ‘menimbulkan ancaman realistik’ kepada CPP Hun Sen.

Sebaliknya, jurucakap CPP, Sok Eysan memperkecilkan ancaman itu dan menyatakan partinya akan menang besar.

Dianggarkan 9.2 juta orang didaftarkan untuk membuang undi hari ini.

Hun Sen, pemimpin paling lama berkhidmat di dunia, memerintah Kemboja selama lebih 37 tahun dan menjadikan negara itu sebagai negara satu parti pada pilihan raya umum 2018 dan memenangi setiap kerusi Parlimen. – AFP, 5 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen