Cemburu mungkin motif wanita hamil ditembak


POLIS mengesyaki cemburu antara motif seorang wanita hamil ditemukan mati dengan kesan tembakan di perut dalam sebuah kereta di tepi jalan Kampung Repek, Pasir Mas dekat Machang, Kelantan petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata bagaimanapun polis akan melakukan siasatan menyeluruh dalam kes itu bagi menentukan motif sebenar.

Muhamad Zaki berkata, mangsa mungkin ditembak menggunakan pistol separa automatik .38 berikutan penemuan kelongsong peluru.

“Polis akan melakukan siasatan secara menyeluruh walaupun ada pelbagai motif yang diperkatakan.

“Selain itu polis juga akan mendapatkan keterangan saksi supaya apa yang kita jangkakan itu tepat. Pada masa sama polis juga meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga selesai siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Machang di IPD Machang hari ini yang menyaksikan Ketua Polis Daerah Machang Mohd Rosli Mat menyerahkan jawatan kepada pemangkunya Mohd Zahir Abdullah.

Semalam, Emirah Mazlan, 26, ibu tiga orang anak berusia antara 3 hingga 10 tahun ditemukan mati dengan kesan tembakan di bahagian perut dan akibat tembakan itu, bayi di dalam kandungan mangsa yang berusia tujuh bulan turut meninggal dunia.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, polis juga sedang menyiasat kemungkinan mangsa ditembak di lokasi lain sebelum memandu kereta ke lokasi mayatnya ditemukan kerana jarak rumahnya sejauh 15 kilometer.

Beliau berkata, susulan kejadian seorang lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai hubungan dengan mangsa ditahan reman sehingga 9 Jun bagi membantu siasatan. – Bernama, 5 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen