Hadi dakwa Amanah hanya mahu pecah belah umat Islam, undi Melayu


Presiden PAS itu mengulas rancangan Amanah untuk bertanding di 27 kerusi Parlimen, sebahagian besarnya di kerusi milik PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2018.

KEHADIRAN Amanah dalam pilihan raya umum akan datang hanyalah untuk memecah-belahkan umat Islam dan mengacau undi Melayu, dakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang. 

Dalam wawancara khas disiarkan lidah parti Umno hari ini, Hadi turut mendakwa bahawa tindakan Amanah bertanding di kerusi PAS hanya akan memberi kemenangan kepada Umno.

“PAN (Amanah) wujud untuk memecah-belahkan umat Islam, undi Melayu dan bagi talian hayat kepada Umno untuk menang. 

“Kalau benar (Amanah) mahu lawan Umno, kenapa sibuk masuk kerusi PAS yang menjadi tradisi pertandingan Umno-PAS sejak puluhan tahun?” katanya seperti dipetik dalam laporan Mingguan Malaysia.

Hadi merujuk kepada rancangan Amanah untuk bertanding di 27 kerusi Parlimen, sebahagian besarnya di kerusi milik PAS.

PAS yang kini mesra dengan Umno pula meletakkan keyakinan untuk memenangi 40 kerusi dan berhasrat untuk menjadi kuasa penentu bagi parti yang mahu membentuk kerajaan.

Selanjutnya, Hadi dalam wawancara itu turut mendakwa, parti Amanah kini tidak berpengaruh dan akan berkubur seperti mana parti serpihan PAS yang lain sebelum ini.

“(Amanah) adalah ijtihad yang salah hasil daripada campur tangan pihak luar terhadap politik Malaysia dan mendapat sokongan DAP yang mulanya untuk menggantikan PAS tapi sekarang laksana melukut di tepi gantang sahaja.

“PAS sudah berulang kali menghadapi serpihan-serpihan sejak tahun 1960-an, Parti Imam, Parti Islah, Parti Berjasa, 1980-an, Parti Hamim, itu pecahan PAS, yang semuanya ditenggelamkan zaman.

“Dan sebahagian besar daripada mereka kembali semula kepada PAS. Sepatutnya mereka mengambil iktibar sejarah lama ini. Mungkin mereka ini orang baru, tidak tahu cerita lama,” kata ahli Parlimen Marang itu lagi.

Parti Amanah diterajui Mohamad Sabu sebagai presiden ditubuhkan pada 2015.

Ia wujud selepas beberapa ahli Parlimen PAS seperti Khalid Samad, Dr Mariah Mahmud, dan Dr Dzulkefli Ahmad yang tidak sebulu dengan pemimpin parti Islam itu meninggalkan parti dan membentuk parti baru, Amanah yang kini menyertai gabungan pembangkang, Pakatan Harapan. – 18 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • memang btl pon..PAN hanya mahu pecah belahkan melayu serta umat islam dibawah arahan DAP..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan