Teresa Kok desak AG batal perwakilan bela guru, bekas guru besar Ain


Teresa Kok mendesak Peguam Negara menarik balik perwakilan yang membela guru dan bekas guru besar dalam kes saman balas difailkan Ain Husniza Saiful Nizam dan ayahnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2022.

AHLI Parlimen Seputeh Teresa Kok mendesak Peguam Negara untuk menarik perwakilan peguam kerajaan yang membela guru lawak rogol ketika kelas dalam saman balas difailkan pelajar Ain Husniza Saiful Nizam.

Dalam satu kenyataan, wakil rakyat DAP itu berkata beliau tergamam apabila mengetahui seorang pegawai kanan kerajaan membela guru lelaki dan bekas guru besar sekolah itu.

“Bagaimana seorang peguam kanan kerajaan boleh bertindak bagi pihak mereka sedangkan guru dan guru besar itu di saman dalam kapasiti persendirian mereka?

“Tambahan pula, Ain Husniza yang pertama sekali disaman fitnah oleh guru yang melakukan lawak rogol di kelas itu. Ain juga yang terpaksa mempertahankan dirinya dan membuat saman balas terhadap guru tersebut.

“Saya mendesak Peguam Negara Idrus Harun untuk menarik balik perwakilan ke atas guru dan bekas guru besar itu dalam pertikaian perundangan persendirian dan sebaliknya kekal membela entity kerajaan sahaja,” kata Kok.

Dilaporkan semalam yang Ain dan ayahnya, Saiful Nizam Ab Wahab, membantah perwakilan pegawai kerajaan dalam kes saman dan saman balas berdasarkan kapasiti persendirian mereka, menyifatkannya sebagai langsung tidak boleh diterima.

Bantahan itu dibuat selepas seorang pegawai kanan kerajaan hadir sebagai peguam bela guru dan bekas guru besar sekolah Ain- yang dinamakan sebagai defendan dalam kes itu.

Menurut laporan Free Malaysia Today, Ain dan ayahnya berkata sangat “tidak wajar” dan pelik untuk seorang pegawai kanan kerajaan membela guru dan bekas guru besar itu kerana mereka disaman atas kapasiti persendirian.

Tahun lepas, Ain disaman guru itu yang menuntut RM1 juta pampasan kerana memfitnahnya.

Ain kemudiannya memfailkan saman balas terhadap guru tersebut, menuntut RM5 juta kerana tekanan diterimanya berikutan kes itu.

Mengulas lanjut, Kok berkata tindakan Jabatan Peguam Negara akan mewujudkan prajadian tidak baik untuk peguam kerajaan bertindak sebagai pembela penjawat awam yang masih berkhidmat atau sudah bersara, yang disaman atas kapasiti persendirian mereka.

“Biar kita betulkan fakta ini, apa yang Ain buat sebagai remaja perempuan adalah secara sah meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap seorang guru lelaki dewasa (yang didakwa) meremehkan rogol, itu sahaja.

“Dia tidak memulakan sebarang tindakan perundangan, walaupun dia berhak berbuat begitu. Tetapi dia dan ayahnya disaman guru tersebut.

“Jelas sekali, ini adalah saman persendirian antara guru dan bekas pelajarnya. Bagaimana seorang peguam kerajaan boleh bertindak bagi pihak persendirian, seorang pegawai awam dan seorang pesara awam?” soalnya.

Ain mendedahkan lawak rogol dibuat guru tersebut pada April tahun lepas, mencetuskan kecaman dan gerakan #MakeSchoolASaferPlace di media sosial dan pendedahan ramai lagi wanita yang berkongsi pengalaman gangguan seksual di sekolah.

Guru di sekolah Ain, SMK Puncak Alam di Selangor, kemudiannya dipindahkan ke jabatan pendidikan negeri.

Ayah Aih, Saiful Nizam Abdul Wahab, membuat laporan polis terhadap guru tersebut tetapi polis mengelaskan kes tersebut sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA) selepas menyiapkan siasatan.

Tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace dan #FreeAin tular di Twitter petang ini dan petisyen dalam talian untuk mendesak Ain “dibebaskan” daripada saman guru tersebut juga dimulakan. – 5 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen