13 terbunuh helikopter terhempas di kawasan gempa Mexico


Lima wanita, empat lelaki dan tiga kanak-kanak terbunuh serta merta, seorang lagi diisytiharkan mati di hospital. Menteri Dalam Negeri Alfonso Navarrete dan Gabenor Oaxaca Alejandro Murat yang berada dalam helikopter terselamat. – Gambar AFP, 18 Februari, 2018.

TIGA belas orang terbunuh selepas sebuah helikopter terhempas di selatan Mexico dalam perjalanan ke kawasan gempa bumi kuat yang melanda daerah itu, kata pegawai semalam.

Gempa berskala 7.2 magnitud itu menyebabkan kerosakan harta benda berlaku pada Jumaat.

Tragedi helikopter terhempas tu berlaku di bandar Santiago Jamiltepec di negeri Oaxaca apabila ia terhempas ke atas sebuah van.

Lima wanita, empat lelaki dan tiga kanak-kanak terbunuh serta merta, seorang lagi diisytiharkan mati di hospital, kata pejabat pendakwaraya Oaxaca.

Dua individu penting dalam helikopter tentera UH-60 Black Hawk itu ialah Menteri Dalam Negeri Alfonso Navarrete dan Gabenor Oaxaca Alejandro Murat yang terselamat.

Puluhan orang hadir memberi penghormatan kepada mangsa, membawa lilin dan bunga putih serta memainkan alat muzik.

Maria Margarita Sanchez kehilangan anaknya, Lorenzo Zarate dalam tragedi itu.

“Saya tak boleh gambarkan kesedihan saya,” kata wanita berusia 63 tahun itu kepada AFP.

Navarrete memberitahu Televisa TV yang juruterbang hilang kawalan ketika cuba mendarat.

Seorang lagi penduduk tempatan yang enggan dinamakan memberitahu ramai orang merancang bermalam di luar- tapak helikopter itu terhempas- kerana bimbang terperangkap dalam rumah mereka sekiranya gempa susulan berlaku.

Pegawai dalam perjalanan meninjau kerosakan disebabkan gempa di kawasan itu terletak 37 kilometer dari bandar Pinotepa de Don Luis, menurut US Geological Survey.

Gempa bumi itu merosakkan hampir 50 buah rumah di Santiago Jamiltepec, dewan bandaraya dan gereja tetapi tiada mangsa terbunuh, kata kementerian.

Pihak berkuasa tempatan Oaxaca membuka pusat perlindungan kepada mangsa terjejas dan hampir 6,000 tentera dan polis persekutuan dikerahkan untuk memberikan bantuan kecemasan.

Gempa itu berlaku tidak sampai dua bulan selepas dua gempa membunuh ratusan orang di negara itu.

Pada 7 September, gempa berskala 8.2 magnitud melanda negara itu dan membunuh 96 orang, ramai mangsa berasal dari Oaxaca dan Chiapas.

Kemudian pada 19 September- ulangtahun ke-32 gempa 1985 yang membunuh 10,000 orang- sebuah gempa berskala 7.1 pula berlaku menyebabkan 39 orang terbunuh. – AFP, 18 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen