Kembalikan GST dengan kadar 3%


SISTEM percukaian yang efektif perlu dilihat oleh kerajaan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dan memberi fokus dalam memastikan setiap isi rumah mendapat manfaat daripada bantuan yang diberikan kerajaan.

Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilihat mampu membantu kerajaan menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat.

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik cadangan perdana menteri yang menyatakan kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan GST.

Jika ia dilaksanakan, MBM mencadangkan kadar GST ini ditetapkan pada kadar 3%. Ia adalah satu kadar terbaik ketika ini dan sebagai salah satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat. GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara dalam masa sama membantu kebajikan rakyat khususnya golongan belia.

Sistem pencukaian ini dilihat mampu membantu belia dalam pelbagai perkara serta menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat. GST mampu mengurangkan jurang pendapatan, menarik pelaburan dan mengukuhkan kekuatan fiskal kerajaan.

Kutipan hasil GST boleh dikembalikan kepada B40 dan M40 dalam bentuk bantuan tunai rakyat yang jauh lebih besar berbanding dengan nilai GST yang dibayar rakyat.

Dengan adanya GST, kerajaan dijangka akan mendapat hasil hampir RM20 bilion setahun berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Ia merupakan satu kesilapan kerana tiada negara di dunia yang mengguna pakai sistem GST kepada SST melainkan negara ini.

Rakyat perlu berfikir dan sedar kerajaan tidak banyak pilihan pada masa ini di samping tanggapan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab mula memainkan sentimen politik sempit bagi meraih sokongan bagi mewujudkan persepsi negatif mengenai GST.

Semua pihak perlu memainkan peranan dalam meyakinkan rakyat tentang kelebihan dan kebaikan pelaksanaan GST. Sebagai rakyat, kita perlu membantu kerajaan dalam memastikan negara terus mampu berdaya saing, mengukuhkan ekonomi seterusnya kembali membantu rakyat.

Justeru, MBM menyokong penuh hasrat kerajaan mengembalikan GST dalam masa sama meminta kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan menggerakkan usaha mendidik dan menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat tentang sudut positif sistem pengutipan cukai yang lebih telus ini seterusnya mampu mengawal harga barang.

MBM mencadangkan apabila GST diperkenalkan semula, kerajaan hendaklah memperbanyakkan lagi program subsidi bersasar antaranya:

* Menetapkan harga RON95 pada kadar RM1.85 per liter;

* Mengecualikan cukai jalan bagi semua jenis kenderaan 2000cc ke bawah;

* Mengurangkan harga tol dalam bandar dan lebuh raya PLUS;

*Memberikan diskaun atau pengecualian pinjaman pendidikan seperti PTPTN kepada pelajar memperolehi CGPA 4.0 dan CGPA 3.5 ke atas manakala bawah 4.0 mendapat 50% potongan pinjaman, 3.0 dan 3.5 ke atas mendapat 30% potongan pinjaman.

MBM percaya dengan adanya sistem percukaian GST, ia mampu menstabilkan ekonomi negara dan kerajaan juga boleh mengusahakan program rasionalisasi subsidi bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah serta menambah bantuan BPR dan lain-lain.

Inilah masa kita tampil ke hadapan membantu kerajaan demi negara tercinta. – 5 Jun, 2022.

* Syed Osman Mohamed ialah naib presiden Majlis Belia Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen