Penduduk kampung jumpa peluru, bom lama di belakang rumah


SEORANG lelaki terkejut apabila menemukan sejumlah peluru dan sebutir bom tangan lama ketika menggali tanah di belakang rumahnya di Kampung Selarong, Pengkalan Hulu, Perak, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu Zulkepli Ibrahim berkata dalam kejadian jam 4.15 petang itu, lelaki berusia 50 tahun terbabit sedang melakukan kerja untuk membesarkan kandang lembu.

“Polis menerima maklumat berhubung penemuan itu pada jam 6 petang dan hasil siasatan mendapati bom berkenaan merupakan bom tangan lama dengan ukur lilit 20 sentimeter dan panjang 12sm.

“Sejumlah peluru jenis 7.62mm General Purpose Machine Gun (GPMP) yang ditemui pula sudah berkarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, kerja pemusnahan dilakukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Taiping pada jam 10.20 pagi tadi tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Katanya, peluru itu pula akan dilupuskan oleh Unit Persenjataan (AMRA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Justeru, beliau menyeru orang ramai yang menjumpai sebarang objek seperti bom atau bahan letupan supaya tidak menyentuh atau mengalihkannya tetapi terus melaporkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – Bernama, 4 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen