SEORANG wanita dan dua lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes curi sport rim dan tayar kereta di sebuah bengkel di Industrial Park, Ampang, Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak dalam kenyataan hari ini berkata, polis turut merampas satu tayar bersama sport rim yang dipercayai barang kes yang hilang, tiga telefon bimbit serta dua kereta jenis Proton Wira Aeroback dan Proton Wira yang digunakan semasa kejadian.
Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada pekerja bengkel itu semua tayar serta sport rim kereta jenis Honda Accord milik pelanggan dicuri semasa hendak membuka bengkel pada 24 Mei lalu.
“Suspek berumur 23 hingga 33 tahun juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah. Mereka direman hingga 7 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri komponen kenderaan,” katanya. – Bernama, 4 Jun, 2022.
Komen