CENDEKIAWAN Islam terkemuka, Tariq Ramadan yang berada dalam tahanan reman di Perancis atas tuduhan rogol awal bulan ini, dimasukkan ke hospital akibat sklerosis berbilang, menurut kumpulan sokongannya semalam.
Sumber terdekat berkata profesor Universiti Oxford berusia 55 tahun ini dihantar ke hospital pada malam Jumaat lalu. Beliau akan menjalani penilaian perubatan bebas untuk menentukan sama ada akan kekal di penjara sebelum perbicaraan, atau tidak.
“Keadaan kesihatannya semakin teruk, terutama sejak hakim enggan mengeluarkan permit lawatan kepada isteri dan anaknya semalam,” kata seorang sumber yang dekat dengan Tariq, semalam.
Seorang lagi sumber yang dekat dengan kes itu berkata beliau akan terus berada di hospital sekurang-kurangnya hingga hari ini.
Peguam Tariq berkata keadaan anak guam mereka “tidak sesuai dengan tahanan”, berdasarkan kepada pemeriksaan awal perubatan pada Selasa.
Didakwa atas tuduhan rogol, Tariq ditahan di penjara Fleury-Merogis, berdekatan Paris sejak 2 Februari.
Mahkamah memerintahkan Tariq ditahan sebelum perbicaraan kerana berpotensi untuk melarikan diri dan dibimbangkan memberi tekanan kepada wanita yang memberi keterangan, tanpa mendedahkan identiti.
Mahkamah di Paris memerintahkan penilaian perubatan pada Khamis dan menangguhkan keputusannya berkenaan penahanan itu sehingga 22 Feberuari, selepas Tariq datang prosiding mahkamah dengan menaiki ambulans.
Tariq yang kerap muncul di media Perancis adalah tokoh paling terkenal di negara itu yang ditahan berkaitan dakwaan serangan dan gangguan seksual hasil gelombang kempen “Me Too” yang melanda dunia kini.
Beliau menafikan dakwaan kedua-dua wanita berkenaan.
Salam seorang pengadu dalam kes rogol ialah seorang rakyat Switzerland dan cucu kepada pengasas Gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir.
Kes membabitkan cendekiawan terkenal itu menyebabkan masyarakat Islam di Eropah mula berpecah, manakala barisan pengikut dan peguam pembela pula menegaskan ia cubaan untuk menjatuhkan Tariq. – AFP, 18 Februari, 2018.
Komen