KABINET secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan undang-undang yang akan memberikan lebih kebebasan kepada Parlimen dan melarang ahli Parlimen yang dibicarakan di mahkamah, daripada hadir persidangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.
Beliau berkata Kabinet bersetuju untuk memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, meminda Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan memperkenalkan Kod Etika Ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Santubong itu berkata beliau sudah membincangkan perkara itu dengan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara Rais Yatim pada Ogos lalu.
“Dipersetujui untuk kerajaan menggubal satu rang undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen bagi merealisasikan hasrat pengasingan kuasa di antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata penggubalan Akta ini juga termasuk penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang merupakan sebahagian daripada pengurusan Parlimen yang mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen.
Akta itu diwartakan pada 1963 tetapi dimansuhkan pada 1993 ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.
“Beberapa perkara yang akan diteliti termasuklah cadangan mewujudkan Skim Perkhidmatan Parlimen serta sumber kewangan dan bajet tahunan yang diperolehi Parlimen daripada Kumpulan Wang Disatukan (Consiladated Fund) yang di kawal selia oleh Suruhanjaya Parlimen sendiri selaras dengan prinsip pengasingan kuasa.”
Sementara itu, Wan Junaidi berkata kerajaan juga akan meminda ordinan untuk mengemas kini undang-undang itu.
Katanya, ordinan itu tidak disemak semula sejak digubal dan dipinda pada 1952 dan 1953.
“Pindaan kepada Akta Majlis Parlimen juga akan mengandungi peruntukan larangan kepada ahli Parlimen yang dituduh di mahkamah digantung daripada menghadiri aktiviti majlis dan ini masih diperhalusi untuk menyesuaikan dengan perkembangan dan peraturan Dewan Rakyat sedia ada,” katanya.
Berkenaan kod etika ahli Parlimen, Wan Junaidi berkata satu draf kod etika digubal pada 2011 dan pelaksanaan kod etika ini tidak diambil kira sejak itu.
“Lanjutan daripada keputusan ini, kerajaan memohon kedua-dua speaker dewan untuk mengadakan persidangan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh mereka supaya memutuskan rangka kerja serta libat urus Menteri dengan semua pemegang taruh berhubung dengan undangundang ini.
“Selain itu, ia juga bagi membincangkan cadangan takwim, garis masa dan tindakan lanjut yang akan dilaksanakan Parlimen serta BHEUU, JPM,” katanya.
Beliau berkata reformasi Parlimen ini sebahagian daripada memorandum persefahaman yang ditandatangani bersama Pakatan Harapan pada 12 September, 2021. – 3 Jun, 2022.
Komen