Korea Utara ucap tahniah jubli Ratu Elizabeth II ke-70


Rakyat Britain semasa sambutan Jubli 70 tahun Ratu Elizabeth II di London. Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un antara pemimpin dunia yang mengutus ucapan tahniah buat Ratu Elizabeth II atas sambutan jublinya. – Gambar EPA, 3 Jun, 2022.

PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong Un mengutus ucapan tahniah kepada Ratu Britain Elizabeth II ketika London memulakan sambutan 70 tahun baginda naik takhta, kata kementerian luar Pyongyang.

London dan Pyongyang menjalin hubungan diplomatik pada 2000 dan mengekalkan kedutaan masing-masing, walau hubungan Korea Utara semakin teruk dengan Barat berhubung pembangunan nuklear dan senjata lain.

“Saya mengutus ucapan tahniah kepada baginda dan rakyat baginda sempena hari kebangsaan negara baginda, ulang tahun rasmi hari jadi baginda,” kata Kim dalam perutusan kepada ratu, yang menurut kementerian luar negeri dihantar pada Khamis.

Kedutaan British di Pyongyang kini ditutup kerana sekatan keluar masuk ketat yang dikenakan Korea Utara sebagai tindak balas kepada pandemik koronavirus.

Tahun lepas, Agensi Berita Pusat Korea rasmi Pyongyang melaporkan Ratu Elizabeth telah menghantar ucapan tahniah kepada Kim pada ulang tahun penubuhan negara itu, yang jatuh setiap tahun pada 9 September.

“Ketika rakyat Republik Demokratik Rakyat Korea meraikan Hari Kebangsaan mereka, saya menyampaikan ucap selamat saya kepada masa depan,” kata permaisuri dalam perutusan ketika itu, merujuk kepada negara itu dengan nama rasminya, menurut KCNA.

Korea Utara telah menjalankan 17 ujian senjata tahun ini, termasuk menguji peluru berpandu balistik antara benua pada jarak penuh buat pertama kali sejak hampir lima tahun.

Washington dan Seoul telah memberi amaran yang Kim bersedia untuk menjalankan satu lagi ujian nuklear pada bila-bila masa ketika ini. – AFP, 3 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen