Batalkan idea perkenal GST


CUBAAN kerajaan Umno-Bersatu-PAS untuk mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atas alasan mengukuhkan kewangan negara adalah tindakan regresif dan akan menyumbang ke arah inflasi yang lebih tinggi. 

Lebih-lebih lagi, pelaksanaan GST serentak dengan pemotongan subsidi akan mewujudkan kesan lebih teruk terhadap kuasa beli rakyat.

Dalam wawancara di Tokyo baru-baru ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengatakan bahawa GST mungkin kembali, dan pada masa yang sama program rasionalisasi subsidi akan dilaksanakan.

Barangkali, Ismail Sabri sudah lupa bahawa antara sebab utama kejatuhan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib Razak adalah pelaksanaan GST dan rasionalisasi subsidi dalam tempoh yang sama.

Ismail Sabri jangan lupa bahawa inflasi Malaysia pernah melonjak ke paras 4.2% pada Februari 2016 - kurang setahun pelaksanaan GST. Kemudian inflasi melonjak lagi ke paras 5.1% pada Mac 2017, berpunca daripada tindakan kerajaan kleptokrat Najib memansuhkan subsidi bahan bakar. 

Jika dibandingkan dengan tempoh pimpinan Pakatan Harapan (PH), tidak pernah sekali pun inflasi melepasi kadar 2%. Malah pada Disember 2018, kadar inflasi pernah turun sehingga 0.2%.

Salah satu faktor utama PH berjaya mengawal tekanan harga adalah dengan menggantikan cukai GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Jika kerajaan Ismail Sabri memperkenalkan kembali GST, terutamanya dalam tempoh setahun akan datang, inflasi akan menjadi lebih teruk kerana faktor gangguan rantaian bekalan dunia terus wujud. Ia akan menjadi satu tamparan berganda (double whammy) buat rakyat Malaysia. 

Tak perlulah BN terdesak untuk justifikasi GST untuk menambah pendapatan negara sedangkan hasil GST ini adalah dari poket rakyat. Cukup-cukuplah mendera rakyat yang semakin sengsara hari ini. 

Amanah menegaskan bahawa GST bukanlah satu-satunya cara menaikkan hasil pendapatan negara. Sepanjang pemerintahan PH, beberapa sumber hasil alternatif telah dikenal pasti dan dijana secara optimum. 

Jawatankuasa Reformasi Cukai telah diperkenalkan untuk mengurangkan ketirisan sistem percukaian dan menambah baik kutipan cukai. 

Antara cara lain yang diperkenalkan untuk menambah hasil cukai adalah pengenalan Program Pendedahan Sukarela Khas (SVDP), cukai perkhidmatan atas perkhidmatan yang diimport, levi pelepasan dan cukai atas minuman bergula.

Hasilnya, kutipan cukai langsung pada 2019 adalah RM134.72 bilion, iaitu 16.1% lebih tinggi berbanding kutipan cukai langsung pada 2017 di bawah pemerintahan Najib. 

Cukai pendapatan individu misalnya menyumbang RM38.68 bilion pada 2019, hampir 34% lebih tinggi berbanding RM28.95 bilion pada 2017.

Jika GST diperkenalkan kembali berserta rasionalisasi subsidi pada masa yang sama, rakyat Malaysia akan mengalami gelombang hiper-inflasi yang besar. Inflasi makanan telah mencecah 4.1% setakat April 2022, dan ia boleh menjadi lebih teruk dengan kenaikan harga barang yang mendadak. 

Amat menghairankan Najib menempelak kerajaan PH sedangkan yang melaksanakan GST adalah beliau sendiri. 

Pada zaman Najib harga barang naik, zaman Ismail Sabri pun harga barang tinggi, maka BN sebenarnya Kerajaan Cap Ayam. – 3 Jun, 2022.     

* Faiz Fadzil, pengerusi Biro Pengguna Amanah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen