Pihak berkuasa Perancis mohon MLA isu rasuah MRT, LRT


Prasarana Malaysia memandang serius laporan media yang memetik sumber dan mendakwa ada elemen pemberian rasuah dalam projek pembinaan infrastruktur pengangkutan awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2022.

PIHAK berkuasa Perancis membuat permohonan Mutual Legal Assistance (MLA) di Jabatan Peguam Negara berkaitan isu rasuah dalam projek pembinaan infrastruktur pengangkutan awam melibatkan Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata ia berkaitan dengan isu LRT dan MRT yang terdahulu dan bukannya sekarang.

Beliau berkata pihak Perancis menyiasat pihak tertentu termasuk syarikat tertentu di Malaysia dan negara mereka yang tajuknya berkaitan Foreign Corrupt Practice by Public Official.

“Jadi, nama-nama berkaitan tidak boleh saya dedahkan dan kita juga sedang meneliti permohonan mereka dan harus diingat, sebarang bantuan keterangan yang kita berikan kepada negara seperti Perancis ini atau mana-mana negara lain ialah melalui Jabatan Peguam Negara (AGC).

“SPRM sedang berbincang dengan AGC bagi meneliti apakah yang boleh SPRM bekalkan dan beri bantuan kepada mereka bukan semua permohonan mereka akan kami penuhi. Jadi kami tengok yang mana kami boleh bantu, kami akan bantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemantapan Wartawan Bersama SPRM di Putrajaya, hari ini. 

Selain itu, beliau berkata mereka juga perlu membantu SPRM dan beri kerjasama sekiranya terdapat apa-apa jua permohonan SPRM kepada Perancis berikutan siasatan telah bermula lebih awal lagi oleh SPRM sejak Mac lalu.

“Skop siasatan SPRM adalah berkaitan dengan isu rasuah yang telah pun berlaku yang dibayar kepada pihak tertentu…. dan ini menjadi tumpuan kami dan setakat ini kami telah membuka dua kertas siasatan (berhubung isu rasuah berkaitan MRT dan LRT),” katanya.

Pada Isnin lepas, syarikat pengoperasi pengangkutan awam, Prasarana Malaysia memandang serius laporan media yang memetik sumber dan mendakwa ada elemen pemberian rasuah dalam projek pembinaan infrastruktur pengangkutan awam.

Prasarana dalam kenyataannya memaklumkan projek terlibat membabitkan MRT dan LRT.

Pada Selasa lepas, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dilaporkan berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk disiasat berhubung dakwaan terdapat elemen pemberian rasuah dalam projek pembinaan infrastruktur pengangkutan awam membabitkan MRT. – Bernama, 2 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen