SAYA menonton video tular Nurulhidayah Ahmad Zahid memberi komen bahawa “women are not born to be leaders” (wanita tidak lahir untuk jadi pemimpin) dalam program ‘Politically Frank’ kelolaan Sinar Daily.
Kenyataan ini selain tidak bertanggungjawab dan dangkal, juga merendahkan martabat wanita, terutamanya datang daripada seorang wanita yang juga ibu dan mempunyai anak perempuan.
Sekian lama wanita di negara ini didiskriminasi dari segi kesamarataan gaji, pendidikan, isu rumah tangga, kebebasan bersuara dalam politik dan banyak lagi, kenyataan ini seolah-olah memberi isyarat bahawa kita masih tidak mengiktiraf wanita menjadi pemimpin di negara ini dengan meletakkan tanda aras yang boleh dicapai oleh wanita.
Kenyataan Nurulhidayah ini adalah stigma yang terus ada dalam masyakat bahawa wanita tidak layak memimpin.
Statistik juga menunjukkan partisipasi wanita dalam politik masih terkebelakang. Contohnya, dalam perwakilan dalam Dewan Rakyat kurang lebih hanya 15 peratus wanita berbanding standard di peringkat global iaitu 30 peratus minima.
Data oleh Suruhanjaya Pilihan Raya juga menunjukkan hanya 75 wanita menjadi calon berbanding 687 jumlah calon yang bertanding di peringkat parlimen pada Pilihan Raya Umum 2018.
Budaya di negara ini juga masih tidak dapat diubah jika persepsi sebegini terus ditanam dalam kalangan masyarakat.
Dari sekolah hingga ke universiti, kita sudah biasa melantik lelaki sebagai pemimpin walaupun wanita mempunyai kelayakan daripada segi merit lebih daripada lelaki.
Dalam pimpinan parti politik pula, wanita masih diletakkan menerajui sayap dan kurang ruang buat wanita untuk berada dalam kepimpinan parti mainstream.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Nuruhidayah ini menggambarkan kepemimpinan itu hanyalah layak dipegang lelaki, dan kedudukan wanita hanyalah sebagai pembantu atau pendukung walaupun mereka mempunyai kemampuan untuk memimpin.
Saya yakin wanita di Malaysia khususnya punya banyak potensi bukan sahaja sebagai pimpinan yang diletakkan aras keberadaan mereka. Wanita hari ini boleh menjadi ketua keluarga atau punya cita-cita menjadi perdana menteri.
Wanita wajib sokong dan angkat wanita lain, bukan merendahkan martabat mereka. – 2 Jun, 2022.
* Ainie Haziqah, ahli Jawatankuasa Pusat Muda Biro Keluarga & Gender.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen