Pakistan sasar dagangan tahunan dengan Turki AS$5 bilion dalam 2 tahun


Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif (kanan) bersama Presiden Recep Tayyip Erdogan ketika dalam rangka lawatan tiga hari ke Turki. – Gambar EPA, 2 Jun, 2022.

PAKISTAN berusaha mencapai sasaran dagangan tahunan dengan Turki sebanyak AS$5 bilion dalam tempoh dua tahun, kata Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif ketika sesi interaksi dengan komuniti perniagaan Turki di Ankara pada Selasa malam.

Shehbaz berkata pihaknya akan mengambil pelbagai langkah untuk menarik pelabur Turki ke Pakistan.

“Kami akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memudahkan visa bagi rakyat Turki dan ahli perniagaan bagi mempertingkatkan hubungan dagangan dan rakyat-dengan-rakyat,” kata Shehbaz menerusi ciapannya pada Rabu.

Pada 2020 ketika lawatan Presiden Recep Tayyip Erdogan ke Islamabad, kedua-dua negara sepakat untuk mempertingkatkan jumlah dagangan sebanyak lima kali ganda melebihi AS$5 bilion menjelang 2023.

Shehbaz, yang dilantik menjadi perdana menteri pada April, dalam rangka lawatan tiga hari ke Turki, diiringi beberapa menteri, termasuk Menteri Luar Bilawal Bhutto Zardari dan Menteri Pertahanan Khawaja Asif.

Sementara itu, Bilawal dan Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu turut membincangkan isu dua hala dan serantau, termasuk mencapai kestabilan di Afghanistan.

Kedua-duanya “menggariskan keperluan terhadap penglibatan yang berterusan antara masyarakat antarabangsa dan kerajaan sementara Afghanistan demi mencapai keamanan bersama,” menurut Kementerian Luar Negeri Pakistan dalam satu kenyataan. – Bernama, 2 Jun, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen