PM belum jumpa Zuraida berhubung keputusan lepas jawatan


Noel Achariam Mohd Farhan Darwis

Pada 26 Mei ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk menyertai PBM dan bersedia untuk meletakkan jawatan sebagai menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata kedudukan Zuraida Kamaruddin sebagai menteri akan diputuskan apabila beliau bertemu dengannya.

Beliau berkata menteri industri perladangan dan komoditi akan menjelaskan keputusannya meletak jawatan apabila mereka bertemu.

“Saya difahamkan beliau masih bercuti. Jadi saya masih belum berjumpa dengannya lagi.

“Beliau akan menjelaskan dan berbincang dengan saya (peletakan jawatan) sebelum saya membuat sebarang keputusan.

“Beliau masih belum datang berjumpa saya lagi. Selepas kita berbincang barulah saya akan putuskan (kedudukan beliau),” katanya pada Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail juga menolak perbincangan bahawa keputusan Zuraida untuk meletakkan jawatan daripada Kabinet adalah kerana kemungkinan rombakan Kabinet.

“Kita kena tunggu dan lihat. Beliau hanya letak jawatan dalam Bersatu. Beliau masih belum letak jawatan dalam Kabinet. Parti dia lain, Kabinet lain.

“Beliau tidak berbincang untuk meninggalkan Bersatu. Tetapi mengenai jawatannya dalam Kabinet, beliau perlu berbincang dengan saya,” katanya.

Pada 26 Mei ahli Parlimen Ampang itu mengumumkan beliau keluar daripada Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan bersedia untuk meletakkan jawatan sebagai menteri industri perladangan dan komoditi.

Zuraida menambah beliau akan bertemu Ismail “secepat mungkin bagi membincangkan peletakan jawatan saya” sambil menambah beliau dan PBM akan terus menyokong kerajaan hari ini.

Sejak pengumumannya Umno meminta perdana menteri untuk tidak mengekalkannya dalam Kabinet dan sebaliknya memberikan portfolio itu kepada parti.

Bersatu pula berkata mereka akan mencalonkan calon baharu untuk mengambil alih tempat Zuraida. – 1 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen