Parlimen bubar bila BN sudah sedia, kata perdana menteri


Mohd Farhan Darwis Noel Achariam

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (tengah) pada Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight Oleh Afif Abd Halim, 1 Jun, 2022.

PARLIMEN hanya akan dibubarkan apabila gabungan Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapinya, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Naib presiden Umno itu berkata, beliau juga akan memastikan perbincangan akan diadakan dengan pucuk pimpinan BN dalam menentukan tarikh bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Bila kita siap siaga saya takkan lewatkan sesaat pun untuk bubar Parlimen, seperti yang telah dipersetujui oleh Perhimpunan Agung Umno (PAU).

“Saya akan bincang dengan (lima pemimpin tertinggi) dan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Hari ini saya setuju kita akan bincang dengan kepimpinan BN dalam tentukan tarikh (PRU15),” kata Ismail Sabri.

Beliau berucap di Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian selepas bekas presiden Umno Najib Razak memberi amaran agar tidak melengah-lengahkan PRU15.

Najib berucap di konvensyen sama yang diadakan bersempena ulang tahun ke-48 gabungan berkenaan. 

Mengulas lanjut, Ismail juga menyarankan BN sentiasa berusaha untuk mencapai budaya kerja kelas pertama, iaitu sebagai berpasukan, berdisiplin dan kesetiaan kepada parti.

“Saya, sebagai perdana menteri akan memastikan dasar-dasar yang menguntungkan rakyat.

“Sesungguhnya, ikrar kita pada hari ini adalah untuk memenangi PRU15 dengan majoriti dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat bagi membolehkan kita meneruskan agenda membantu rakyat dan memakmurkan negara. Insya Allah,” kata Ismail Sabri.

Tambahnya, kerajaan BN yang kuat juga akan mewujudkan kestabilan politik di dalam negara, dan sekali gus menyumbang kepada kemakmuran ekonomi rantau Asia Tenggara.

Ismail Sabri dalam wawancara bersama akhbar Jepun yang disiarkan semalam memberi bayangan PRU15 tidak akan berlaku dalam masa terdekat. 

Beliau sebaliknya memberi alasan negara kini berhadapan isu peningkatan kos sara hidup dan harga barang makanan.

Mandat kerajaan hanya akan tamat pada Julai 2023 namun pimpinan Umno mendesak agar ahli Parlimen Bera itu segera memanggil PRU15.

Ia kerana mereka merasakan momentum sokongan rakyat dikatakan memihak kepada BN seperti ditunjukkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung sebelum itu.

Dalam PRN Melaka dan Johor, BN memperolehi kemenangan besar dan menguasai dua pertiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri. – 1 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen