Kepulangan mayat pembantu rumah Filipina disambut dengan kesedihan, kemarahan


Keluarga Joanna Demafelis menangis hiba ketika kerandanya diturunkan di terminal kargo lapangan terbang di bandar Iloilo.

LEBIH seratus saudara-mara dan penyokong pembantu rumah Filipina yang mayatnya ditemui di dalam peti penyejuk beku di Kuwait berkumpul sambil memegang sepanduk menuntut keadilan sebaik saja kerandanya tiba dirumahnya hari ini.

Keluarga Joanna Demafelis menangis hiba ketika kerandanya diturunkan di terminal kargo lapangan terbang di bandar Iloilo.

Kumpulan yang turut disertai seorang ahli kongres dan pegawai tempatan membawa sepanduk dan memakai baju-T tertulis “Keadilan untuk Joanna D. Demafelis”, sebagai tanda kemarahan atas kematian tragis Joanna.

Kejadian ini memburukkan lagi hubungan diplomatik antara Filipina dan Kuwait di mana Presiden Rodrigo Duterte mendakwa majikan bangsa Arab memaksa pekerja Filipina bekerja selama 21 jam sehari dan memberi mereka makan sampah.

Duterte juga mengharamkan penghantaran pekerja baharu ke Kuwait dan mengarahkan syarikat penerbangan menghantar pulang mana-mana dari 252,000 pekerja Filipina di Kuwait yang mahu pulang.

Kira-kira 10 juta rakyat Filipina bekerja di luar negara dan wang yang dikirim mereka menampung ekonomi Filipina. Layanan yang mereka terima di luar negara sering menjadi isu di negara mereka.

Menteri Luar Kuwait sebelum ini mengutuk respon Manila mengenai isu ini, namun Setiausaha Luar Filipina Alan Peter Cayetano semalam berkata duta besar Kuwait telah memberi jaminan bahawa pembunuhan Joanna turut menimbulkan kemarahan kerajaannya dan berjanji akan menjejaki mereka yang bertanggungjawab. – AFP, 17 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen