Hawana: Sisi lain kewartawanan


PENGIKTIRAFAN kerajaan terhadap bidang kewartawanan, peranan yang dimainkan wartawan dan institusi kewartawanan sangat dialu-alukan.

Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) pada setiap 29 Mei yang menjadi agenda nasional demi mengangkat profesion kewartawanan dalam membantu proses pembangunan kewartawanan negara sangat dihargai.

Saya menghadiri sambutan Hawana di Melaka, cumanya berharapkan pengiktifaran ini tidaklah dalam lingkungan kewartawanan arus perdana sahaja.

Bernama, Malaysian Press Institute (MPI) atau agensi lain yang akan mengendalikan sambutan Hari Wartawan Nasional pada masa-masa akan datang tidak harus mengiktirafkan sisi media arus perdana sahaja. 

Wujud sisi kewartawanan lain yang besar juga sumbangannya kepada kemajuan dan pembangunan negara ini. Bagaimana dengan kewartawanan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang seolah-olah tidak diendahkan langsung dalam memberikan sumbangan kepada pembangunan kewartawanan negara?

Pengasas kepada kemunculan wacana kewartawanan dalam aspek penggunaan dan alam sekitar ialah Almarhum S.M.Haji Mohd Idris. Melalui penulisan dan ucapannya beliau telah melahirkan kesedaran kepenggunaan dan alam sekitar pada awal 70-an lagi.

Beliau telah membawa kepada kelahiran Utusan Pengguna dan Konsumer, akhbar kewartawanan kepenggunaan dan alam sekitar ulung.

Sebagai bekas wartawan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), saya merasakan sumbangan organisasi ini begitu bermakna kepada pembangunan negara daripada aspek kepenggunaan dan alam sekitar yang kemudiannya disusuli dengan penubuhan Sahabat Alam Malaysia(SAM).

Tidak keterlaluan jika dikatakan tanpa Utusan Pengguna (akhbar berbahasa Melayu) yang diterbitkan sebulan sekali dan Utusan Konsumer (akhbar berbahasa Inggeris yang diterbitkan dua minggu sekali), kesedaran terhadap isu kepenggunaan dan alam sekitar di negara ini tidak akan merata dalam kalangan rakyat.

Dan media arus perdana tidak akan menulis berita kepenggunaan dan alam sekitar. Jika tidak, kewartawanan kepenggunaan dan alam sekitar tidak akan berkembang seperti sekarang ini.

Kebanyakannya bertunas daripada Utusan Pengguna dan Utusan Konsumer. Ini bukan bertujuan untuk menyombongkan diri, tetapi hakikatnya sumbangan pembangunan dan kemajuan kewartawanan kepenggunaan dan alam sekitar di negara ini lahir daripada kedua-dua NGO ini yang diterbitkan melalui kedua akhbar tersebut.

Namun, tidak seperti media arus perdana harian, Utusan Pengguna dan Utusan Konsumer lebih menyiarkan berita dan artikel berbentuk siasatan atau investigative journalism.

Mungkin dalam aspek politik media tidak kelihatan bebas, tetapi dalam aspek kepenggunaan dan alam sekitar ia lebih terbuka dan dapat membuat pendedahan mengenai isu kepentingan awam dan rakyat daripada sudut kepenggunaan dan alam sekitar.

Walaupun wartawan CAP tidak ramai tetapi penyiasatan kami membuka mata rakyat tentang penyelewengan, penipuan dan pembohongan yang dilakukan pemilik produk dan perkhidmatan.

Pendedahan CAP tentang produk kecantikan yang mengandungi bahan raksa, misalnya sejak awal 90-an lagi, perkara yang tidak diambil peduli oleh media harian kerana mereka tiada fokus dalam isu berkenaan.

Kami menerima aduan orang ramai tentang produk krim muka yang digunakan wanita bagi menampakkan kemerah-merahan di pipi tetapi ia menipiskan kulit muka menyebabkan berlakunya kepedihan. Ujian di makmal mendapati krim ini mengandungi bahan raksa.

Media harian tidak dapat melakukan kerja-kerja seperti ini.  Utusan Pengguna telah mendedahkan dan menyoal pada masa tersebut bagaimana agensi kerajaan tidak mengetahui produk ini masuk ke negara ini tanpa membuat ujian makmal terlebih dahulu.

Adakah ini produk haram yang dijual sebagai produk sah? Kebanyakan negara telah mengharamkan produk krim muka jenama sedemikian kerana mengandungi raksa.Inilah pendedahan yang dibuat Utusan Pengguna.

Kepada sesiapa yang masih ingat isu skim cepat kaya Pak Man Telo, Utusan Pengguna adalah akhbar pertama yang mendedahkannya kepada orang awam. Ia kemudian di”hijack” oleh akhbar harian.

NGO SAM melalui akhbar Utusan Pengguna dan Konsumer telah mendedahkan isu alam sekitar seperti pembalakan bukan sahaja setakat kegiatan haram tetapi pembalakan “hantu”.

Wartawan Utusan Pengguna dan aktivis alam sekitar dan pengguna pernah berdemonstrasi di hadapan restoran McDonald’s di Pulau Pinang pada era 90-an berikutan isu ladang ternakan lembu McDonald’s di Brazil menebang pokok balak dan mengusir orang asli.

Bagi mendapat bukti pada masa itu adakah import daging McDonald’s Malaysia datang dari Brazil, wartawan CAP terpaksa menyamar menjadi tukang cuci. Wartawan Utusan Pengguna telah melakukan tugasan ini dengan jayanya.

Begitu juga pendedahan mengenai apa yang berlaku kepada orang asli Penan semasa empangan hidroelektrik Bakun hendak dibina dan penebangan hutan sebesar pulau Singapura di Sarawak, wartawan SAM menemu bual orang asli Penan secara sembunyi-sembunyi.

Kerja siasatan ini bukan sahaja dilakukan oleh wartawan media harian tetapi dilakukan oleh wartawan NGO seperti CAP dan SAM. Oleh itu janganlah menjumudkan penghargaan dan terbatas kepada media arus perdana harian sahaja.

Sumbangan besar NGO CAP dan SAM melalui akhbar Utusan Pengguna dan Konsumer telah (tidak keterlaluan) membawa kepada kelahiran kementerian kepenggunaan bahkan kementerian alam sekitar. Kerajaan tentulah tidak akan mengakuinya.

Sumbangan besar NGO Rangkaian Dunia Ketiga (TWN) dalam isu perdagangan bebas melalui pengasasnya mendiang Martin Khor Kok Peng telah melahirkan kementerian perdagangan antarabangsa.

Utusan Pengguna dan Konsumer telah menyumbang penulisan artikel perdagangan bebas. Media harian era 90-an tidak menumpukan kepada aspek ini pada masa itu dan mereka juga tiada wartawan yang khusus dalam bidang ini.

Kemasukan era 2000 menyaksikan banyak pertubuhan pengguna baharu diasaskan seperti persatuan pengguna Islam dan NGO alam sekitar.

Oleh itu hargailah pengorbanan para wartawan dalam organisasi NGO seperti CAP dan SAM yang walaupun tidak digolongkan dalam media arus perdana tetapi menjadi perintis kepada wacana kepengunaan dan alam sekitar yang ada sekarang. – 1 Jun, 2022.

* Ismail Hashim Yahaya adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, SenI Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen