KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meningkatkan promosi penggunaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan ternakan bagi memastikan bekalan ayam dalam negara cukup dalam jangka panjang.
Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata usaha itu sebagai tanda komited KPPK untuk membantu mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada makanan ternakan import di tengah-tengah peningkatan kos penternakan.
“Kajian menunjukkan bahawa memberi makan kek isirong sawit (PKC) yang ditapai dan lemak pemakanan yang tinggi kepada ayam pedaging boleh menggantikan makanan import yang digunakan hampir semua ladang ayam komersial hari ini.
“KPPK juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan lain untuk mengkaji semula dasar eksport PKC yang akan lebih memihak kepada ayam pedaging tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zuraida berkata bagi menjayakan usaha ini juga kementeriannya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri untuk melihat dengan segera bagaimana ketersediaan sisa isirung sawit untuk industri ayam tempatan.
“Selain itu, KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan institusi penyelidikan seperti universiti awam untuk melihat cara meningkatkan kualiti PKC bagi menjadikannya pilihan utama penternak, termasuk kajian bagi mengurangkan kandungan serat dalam PKC,” tambahnya.
Harga makanan ayam naik mendadak daripada RM500 satu tan kepada RM1,900 satu tan dalam beberapa kes susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan penutupan Pelabuhan Laut Hitam yang menjejaskan bekalan makanan global.
Peningkatan ini menyebabkan harga ayam segar naik di pasaran dan dijual melebihi harga siling RM8.90 sekilogram.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan empat ladang ayam di Melaka menghentikan bekalan pada 21 dan 22 Mei atas alasan “masalah dalam ladang ternakan”.
Boikot itu sebahagian besarnya didorong oleh kelewatan subsidi 60 sen sekilogram yang dijanjikan kerajaan kepada penternak.
Ini menyebabkan bekalan ayam kurang di pasaran, menyebabkan harga melambung hingga RM13 sekilogram walaupun kawalan harga dikuatkuasakan.
Susulan itu juga, Kabinet pada 23 Mei lalu memutuskan untuk menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil. – 31 Mei, 2022.
Komen