Cherita Awang Putat: Suara jelata Rahim Kajai


Faisal Tehrani

SEMPENA Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 yang baru disambut, elok rasanya kita mengupas semangat sambutan Hawana 2022 yang bertemakan “Suara Jelata, Aspirasi Negara”. 

Akan tetapi, apa yang “jelata”, dan bagaimana suara jelata itu dapat menjadi aspirasi negara? Saya khuatir slogan begini hanya diungkap untuk sedap di mulut tetapi diludah di hati.

Untuk itu saya ingin membawa kalian kepada sebuah cerpen yang menarik diulang baca hari ini, khusus untuk memahamkan perangai politik orang Melayu.

Judul cerpen tersebut “Cherita Awang Putat”, adalah tulisan tokoh wartawan dan cerpenis terkenal Melayu, Abdul Rahim Kajai satu ketika dahulu.

Rahim Kajai dianggap Bapa Kewartawanan Melayu. Nama sebenarnya Abdul Rahim Haji Salim. Beliau pernah menjadi koresponden untuk akhbar mingguan Sinar Zaman, Warta Malaya dan Utusan Melayu, dalam tahun-tahun 1930-an dan 1940-an.

Di samping itu beliau ikut menulis beberapa risalah politik dan agama. Dalam usia beliau yang singkat itu, 48 tahun, Rahim Kajai sempat mengarang 48 buah cerpen antara tahun 1936 dan 1941. 

Dalam erti kata lain kita akan melihat perangai politik orang Melayu yang pernah beliau kupas dalam cerpen “Cherita Awang Putat”.

Saya kira cerpen itu mencerminkan sikap beliau terhadap orang Melayu. Kita kemudian boleh membandingkan Melayu tahun-tahun tersebut dengan Melayu tahun-tahun sekarang. Samada masalah kita sama, dan apakah makin kronik.

Sayugia diingat Rahim juga pernah bertugas di bawah tokoh ulung Syed Sheikh Syed Ahmad Al-Hadi, iaitu di Saudara, akhbar mingguan di Kuala Lumpur pada hujung 1920an.

Bahkan ketika pendudukan Jepun, Rahim bertugas di Berita Malai dan ikut bergaul dengan beberapa ahli politik dan penulis Melayu penting seperti Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Yusof Ishak dan Abdul Samad Ismail (Pak Samad).

“Cherita Awang Putat” mengisahkan renungan dan pemerhatian, serta pengalaman hidup seorang protagonis bernama Awang Putat yang berdepan dengan masalah masyarakat, dan masalah cinta. 

Menurut Ali Haji Ahmad (bekas penyelia sarjana saya di USM satu ketika dahulu), cerita-cerita oleh pengarang masa itu bersulam cinta tetapi sebetulnya cuba menghantar mesej untuk pembaca Melayu: “Di-atas landasan kejadian2 perchintaan lelaki-perempuan inilah berputarnya cherita2 mereka. Dan di-atas-nya-lah juga di-salorkan berbagai2 pengajaran dan chita2 pengarang2 itu.”

Ayat di atas saya kutip dari buku “Rintisan: antoloji cherita pendek melayu sa-belum perang dunia kedua” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1964.

Kisah Awang Putat ini mengambil latar sebuah kampung bernama Tenong, di daerah Temerloh, Pahang. Asalnya masyarakat Melayu di kampung ini hidup makmur dan aman damai.

Di sungai Pahang, terdapat banyak dagangan. Manakala kehadiran getah membawa kebahagiaan ekonomi yang luar biasa buat masyarakat. 

Akan tetapi perubahan mendadak berlaku selepas sebuah sekolah Melayu dibuka, di mana hadir seorang guru bernama Majid Shah, seorang berketurunan Mamak; dan kemunculan sebuah kedai runcit yang diusahakan oleh watak seorang Cina bernama Ah Kau. 

Perlahan-lahan watak-watak itu mengalami perjalanan hidup yang tidak tenang di Tenong di mana Hamid Shah, anak saudara Majid Shah merebutkan gadis idaman di kampung tersebut, selain Ah Kau melebarkan perniagaannya dengan demikian pantas. 

Pun demikian, ketika memaparkan kerasukan dan kerakusan watak-watak ‘bukan Melayu’ ini, watak Awang Putat ciptaan Rahim Kajai bukanlah satu watak yang lurus, bersih dan sentiasa boleh dicontohi.

Di sinilah hadir kritikan pengarangnya terhadap orang Melayu. Watak di Tenong ini turut dihiasi watak sampingan seperti Penghulu Tenong Tok Rangkaya Bangkong, dan Pendekar Cholin. Berrsama-sama Hamid Shah, Penghulu dan Pendekar Cholin menguasai pusat pentadbiran kampung Tenong iaitu masjid dengan merebutkan posisi ‘Chairman Committee Masjid’.

Rahim Kajai selaku pengarang mengambil kesempatan mengejek orang Melayu sebagai pemalas dan naif sehingga tertipu oleh Ah Kau yang menelan tanah gadaian orang Melayu yang suka berhutang.

Nepotisme menjadi-jadi di mana anak beranak ketiga-tiga pemimpin berpengaruh di Tenong itu menguasai jawatan penting. Awang Putat pula mengidamkan anak Pendekar Cholin iaitu Che Teh tetapi melepas kerana gadis itu dikahwinkan dengan Hamid Shah. 

Bermulalah episod dendam, yang merupakan kelebihan orang Melayu. Kedengkian Awang Putat membuatkan rumahtangga Che Teh dan Hamid Shah bergolak.

Ini berlaku apabila Awang mengapi-apikan isu ras dengan mengherdik keturunan Hamid Shah yang mamak dan banyak bulu dada (meskipun sudah diMelayukan).

Cerpen ini juga memperlihatkan gejala sosial dalam kalangan orang Melayu ketika itu.

Selain tidak begitu rajin, kuat berhutang dan menjadi kutu, Rahim Kajai menyatakan Melayu juga tidak bijak berfikir dan membiarkan pusaka direbut bangsa lain.

Rahim Kajai menyindir, Melayu jadi begitu bukan sangat kerana “ketamakan bangsa lain” tetapi kerana mereka bodoh dan tidak memikirkan masalah kepimpinan bangsa. 

Bukanlah kebetulan Rahim Kajai menyorot watak Pendekar Cholin, seorang maha guru silat. Pada guru silat inilah pusat kebangkrapan dan kebangangan orang-orang Melayu.

Mereka menyembah guru silat yang menjual mitos Melayu terancam; padahal merekalah yang membiarkan harta dan hak melayu terlahap dan terlepa menerusi penglibatan mereka dengan korupsi. 

Guru silat seperti inilah yang diintimi oleh pemimpin politik Melayu tatkala itu yang ditonjolkan menerusi watak Penghulu, dan Hamid Shah. 

Hari ini, gejala sosial yang disebut-sebut Rahim Kajai tersebut tidaklah berakhir dalam kalangan Melayu. Gejala tabur habuan sekecil-kecil sekotak ayam KFC, sehinggalah lot saham digunakan untuk membeli jiwa sesetengah orang Melayu yang tidak takut Tuhan.

Malah perebutan syaitani itu dikuduskan dengan alasan konon mereka merebut posisi Chairman Committee Masjid. 

Maka tidaklah menghairankan hari ini ada saja pemimpin Melayu yang konon mewakaf, dan mensedekahkan harta mereka menerusi yayasan atau tabungan masjid tertentu padahal itu tempat persembunyian duit haram. Atau, satu alat untuk memberanakkan duit yang akan digunakan untuk membeli undi. 

Persis dalam cerpen ‘Cherita Awang Putat’ kita akan melihat bagaimana watak Pendekar Cholin dijilat dan dijadikan tumpuan ahli politik Melayu kerana mereka menguasai psikik orang Melayu yang percaya kekeramatan bangsa pada keris dan buah silat.

Yakni memegang guru silat adalah umpama memegang sekian samseng Melayu, yang akan membuka jalan kepada penipuan demi penipuan orang jelata semata-mata untuk berkuasa. 

Sama bukan dengan apa yang berlaku hari ini?

Cerpen karangan Rahim Kajai yang terbit di Utusan Zaman antara 1 sehingga 7 November 1941 tersebut rupa-rupanya menampakkan perangai bobrok Melayu yang berulang-ulang dan tak pernah kebah. 

Jika kita meminjam dan mengacukan slogan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’ yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri, kita pasti tersenyum sinis. Inilah yang Rahim Kajai sudah sebutkan. Rahim Kajai seorang model atau bapa kewartawanan. 

Sebagai suara jelata, Rahim Kajai memberikan aspirasi buat negara agar menjauhi politik semak samun Melayu yang berlegar dengan korupsi dan rasuah. 

Sebagai suara jelata, Rahim Kajai memberikan aspirasi buat negara agar menjauhi politik semak samun Melayu yang berlingkar dengan samseng dan kongsi gelap Melayu yang disamarkan di belakang pencak silat, selempang dan gelar guru. 

Sebagai suara jelata, Rahim Kajai memberikan aspirasi buat negara agar tidak menodai kekudusan agama yang dilambangkan pada sebuah masjid. 

Sebagai suara jelata, Rahim Kajai memberikan aspirasi buat negara agar orang Melayu bijak berfikir dan berhenti menyalahkan semuanya terhadap Cina sahaja, ya, seperti menggunakan naratif balik-balik Cina. 

Sebagai suara jelata, Rahim Kajai memberikan aspirasi buat negara agar tidak bertelagah merebutkan kuasa, yang dijelmakan menerusi kejelitaan Che Teh. 

Akan tetapi hari ini selain pengarang muda tidak mahu membaca apatah lagi menghayati kerja orang terdahulu seperti Rahim Kajai, kita mendapati ada banyak Awang lain sepertinya Awang Putat yang berbuat tingkah laku dan perangai serupa. 

Saya percaya tidak ramai yang tahu tentang kewujudan cerpen ‘Cherita Awang Putat’ ini, termasuklah para wartawan, dan tentu sekali pemimpin negara yang melancarkan slogan sedap di mulut tetapi diludah di hati berbunyi “Suara Jelata, Aspirasi Negara”. 

Apa yang ditegur Rahim Kajai dalam cerpen “Cherita Awang Putat” itu terus bermain dan berputar macam filem lama yang tidak boleh dihentikan. – 31 Mei, 2022.  

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen