NILAI ringgit yang terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) beberapa minggu lalu sebahagian besarnya didorong oleh langkah agresif Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk mengatasi inflasi, kata pakar ekonomi.
Selain itu, naik turun nilai mata wang dan kestabilan politik juga mendorong kelemahan ringgit, tambah mereka.
Namun, pakar berkata situasi ketika ini tidaklah seperti krisis kewangan Asia 1997-1998 sehingga ringgit perlu ditambat.
Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidik AmBank Anthony Dass memberitahu The Malaysian Insight, Fed dijangka akan terus menaikkan kadar faedah sehingga inflasi turun.
“Kelemahan ringgit didorong oleh beberapa faktor, termasuk pengukuhan dolar disebabkan langkah agresif Fed kerana pelabur menjangkakan kadar dana persekutuan Fed naik dengan cepat,” katanya.
Ringgit didagangkan RM4.37 berbanding dolar AS semalam.
Pada 6 Mei lalu, Fed umum kenaikan kadar faedah terbesar sejak 2000 iaitu setengah mata peratusan, dalam usaha mengawal inflasi yang meningkat ketara di AS.
Pengerusinya Jerome Powell pada sidang media berkata FED akan menggunakan apa saja cara untuk segera mengatasi inflasi yang mencecah pada kadar 8.5% dalam tempoh 12 bulan hingga Mac, iaitu lonjakan terbesar sejak Disember 1981.
Untuk tujuan itu, FED berkata peningkatan 50 mata asas tambahan harus dipertimbangkan.
Mengulas lanjut, Dass berkata kejatuhan nilai ringgit juga berkait rapat dengan mata wang yuan China.
“Kelemahan mata wang yuan juga harus dilihat sebagai kelemahan ringgit.
“Bukan ringgit sahaja yang menyusut berbanding dolar AS ketika ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, harga minyak yang kukuh memberi sedikit penampan kepada kejatuhan ringgit, kata Dass.
Tidak perlu tambat ringgit
Profesor Ekonomi daripada Institut Asia-Eropah Universiti Malaya Rajah Rasiah berkata nilai ringgit merosot juga disebabkan oleh pelarian modal.
Namun menambat ringgit tidak akan mendatangkan manfaat kerana Malaysia kerana langkah itu mungkin akan mengambil berbilion ringgit daripada rizab negara, katanya.
Semasa krisis kewangan Asia pada 1998, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan langkah kontroversi itu bagi membantu menstabilkan nilai ringgit.
Langkah itu ditarik balik pada 2005 ketika pentadbiran Najib Razak, atas alasan ia boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran rakyat serta menyebabkan pelabur hilang keyakinan terhadap ekonomi Malaysia.
“Menambat ringgit seperti yang dibuat pada 1998 akan menyukarkan langkah bagi menstabilkan kadar tukaran kerana ia memerlukan kawalan modal iaitu kawalan ke atas mata wang,” katanya. – 31 Mei, 2022.
Komen