PBM perlu bersekutu dengan parti lebih besar menjelang PRU15, kata penganalisis


Chan Kok Leong

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) dijangka mencari kumpulan yang lebih besar untuk dijadikan rakan kongsi kerana parti itu tidak ada sokongan akar umbi yang kuat, kata penganalisis.

Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata kemungkinan besar ialah Barisan Nasional (BN).

“Tetapi bukan senang sebab BN biasanya beri kerusi campuran kepada MCA dan MIC,” kata pensyarah Universiti Malaya itu.

Beliau berkata kredibiliti PBM, kerana dilabel sebagai parti katak, juga akan membuatkan BN berfikir dua kali untuk bekerjasama dengan mereka.

Pada Januari, presiden PBM yang baharu Larry Sng berkata para pemimpin telah menerima usul untuk menyertai BN dan akan membincangkan perkara ini dengan mereka tidak lama lagi.

PBM menarik perhatian baru-baru ini selepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin berkata beliau akan keluar Bersatu untuk bersama PBM minggu lepas.

Sejak ditubuhkan tahun lepas, PBM telah digembar-gembur sebagai platform untuk beberapa bekas ahli Parlimen PKR untuk menyertainya selepas mereka keluar dari PKR pada 2020 untuk menyertai Bersatu.

Antara bekas ahli Parlimen PKR dalam PBM sekarang ialah Sng, yang merupakan bekas naib presiden PKR dan bekas ahli Parlimen Tebrau PKR Steven Choong.

Walaupun Sng bukan berasal dari PKR, beliau menyertai parti itu sebagai seorang yang bebas selepas menang kerusi Julau pada 2018.

Sng, Choong dan Zuraida antara 13 ahli Parlimen yang keluar PKR semasa dan selepas Langkah Sheraton untuk menyokong Muhyiddin Yassin dalam Bersatu sebagai perdana menteri selepas kerajaan Pakatan Harapan digulingkan pada 2020.

Pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata PBM tidak ada pilihan selain bekerjasama dengan parti yang lebih besar untuk Pilihan Raya Umum ke-15.

Katanya, PBM terlalu baharu sebagai sebuah parti dan tidak mendapat sokongan ramai.

Tunku Mohar memberi contoh Choong hilang deposit bertanding di Puteri Wangsa semasa pilihan raya negeri Johor baru-baru ini.

Walaupun Choong ahli Parlimen Tebrau, “ketidakpopularannya” selepas keluar PKR menunjukkan sikapnya apabila tidak mendapat satu perlapan daripada undi, kata Tunku Mohar.

“PBM perlu memilih antara Perikatan Nasional dan BN kerana terdapat terlalu banyak benda tak bagus dengan Pakatan,” kata Tunku Mohar. – 31 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen