LSD: Hampir 13,000 lembu telah divaksin di Terengganu, kata JPV


Pengarah JPV Terengganu Dr Anun Man berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan RM100,000 untuk perolehan bekalan vaksin untuk penyakit kulit kental (LSD) di negeri itu. – Gambar Facebook, 30 Mei, 2022.

HAMPIR 13,000 ekor lembu daripada 695 premis di negeri ini telah menerima vaksin untuk penyakit kulit kental (LSD) oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu sejak Oktober lepas hingga April tahun ini.

Pengarah JPV Terengganu Dr Anun Man berkata selain peruntukan kerajaan pusat melalui JPV, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM100,000 untuk perolehan bekalan vaksin LSD di negeri itu.

Beliau berkata hasil pemantauan, pihaknya telah mengenal pasti 50 kes positif LSD daripada 25 premis ternakan dan melupuskan 43 ekor lembu yang positif penyakit itu tahun lepas.

“Hasil program pemvaksinan dan pemantauan berterusan, JPV Terengganu memberi jaminan semua ternakan lembu yang diperiksa adalah selamat untuk pasaran di negeri ini terutama menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi.

“Kami akan meneruskan program pemvaksinan ini dengan tumpuan di kawasan ‘panas’ yang menjadi risiko utama jangkitan penyakit kepada penternak berdaftar di seluruh Terengganu. Daripada bancian,  Terengganu mempunyai hampir 5,000 penternak dengan populasi ternakan lembu 85,000 ekor,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

Ketika ini, terdapat 121 jenis penyakit yang wajib dilaporkan kepada JPV dan ia telah diwartakan di bawah Seksyen 2 Akta Binatang 1953 (Akta 647) supaya langkah pencegahan dapat diambil mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan jabatan itu.

Dalam pada itu, Dr Anun berkata JPV Terengganu berjaya menggagalkan 13 kes cubaan pemindahan ternakan tanpa permit dengan lucut hak keseluruhan berjumlah RM45,564 pada 2020 dan 17 kes dengan lucut hak keseluruhan berjumlah RM34,000 tahun lepas.

“Setiap pergerakan haiwan ternakan memerlukan Akuan Kebenaran Pindah (AKP) yang dikeluarkan oleh JPV. Tujuannya adalah untuk mengetahui status ternakan tersebut sebelum dipindahkan seterusnya dapat mengawal risiko penyakit merebak ke kawasan lain.

“Prosedur pemindahan ternakan akan melibatkan pemeriksaan kesihatan dan persampelan serta hanya ternakan sihat sahaja boleh dipindahkan. Semua langkah ini adalah untuk memastikan keselamatan makanan kepada pengguna,” katanya. – Bernama, 30 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen