Instafamous ditahan anjur tarian separuh bogel, bakar bunga api di I-City


POLIS menahan seorang pesohor Instagram berhubung kejadian sekumpulan lelaki dengan perwatakan wanita yang menari separuh bogel dan membakar bunga api pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di sebuah unit di I-City Shah Alam, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata Instafamous dikenali sebagai ‘Cik Lala’ yang juga penganjur majlis itu ditahan semalam dan direman sehingga esok bagi membantu siasatan selepas tular beberapa rakaman video yang dimuat naik di laman sosial TikTok.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu didakwa berlaku pada 27 Mei sekitar jam 8 hingga 11.30 malam di sebuah unit di Centralwalk I-City, Shah Alam.

“Pengadu yang juga pengurus Badan Pengurusan Bersama (JMB) I-Soho I-City membuat laporan polis pada 28 Mei selepas menerima pesanan WhatsApp mengenai aktiviti yang menjatuhkan imej I-City sebagai satu tarikan pelancong di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya aktiviti yang diiringi muzik kuat itu dilakukan di kawasan awam berhampiran rumah penduduk dan ‘Cik Lala’ adalah individu yang menyewa unit berkenaan pada harga RM4,000 bagi menganjurkan majlis berkenaan dengan jemputan kira-kira 50 orang.

Mohd Iqbal, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Insp Nur Syuhada di talian 017-6942736. – Bernama, 30 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen