Kekurangan staf punca servis kurang bagus, kata pengusaha hotel


Khoo Gek San

Pengusaha hotel mengalami masalah kekurangan tenaga pekerja bagi membersihkan bilik sekali gus memenuhi permintaan pelanggan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2022.

KEHADIRAN pelanggan secara tiba-tiba semasa hujung minggu Hari Pekerja-Hari Raya Aidilfitri yang panjang baru-baru ini menyebabkan hotel bergelut untuk memenuhi perkhidmatan diharapkan daripada mereka.

Ketika tempoh panjang itu, beberapa hotel melaporkan kadar penghunian sebanyak 90%. Bagaimanapun mereka juga mengalami kekurangan kakitangan yang teruk bermakna ramai pelanggan tidak menerima servis sewajarnya.

Pengusaha hotel menyatakan tempoh dua tahun pandemik Covid-19 dan pemberhentian pekerja secara besar-besaran disebabkan industri itu paling teruk terjejas sekali gus menyaksikan banyak hotel tidak mampu memenuhi permintaan.

Mereka berkata, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 juga memberi kesan kepada mereka dan menggesa kerajaan membenarkan mereka mengambil pelajar sebagai pekerja sementara.

Seorang pengusaha hotel berkata, beliau tidak mempunyai kakitangan mencukupi untuk mengemas bilik dengan pantas bagi pelanggan yang hadir secara tiba-tiba.

Pengusaha hotel menambah mereka juga gagal mengambil semula kakitangan dengan kadar segera apabila kerajaan menarik balik sekatan perjalanan pada 1 April.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) N Subramaniam memberitahu The Malaysian Insight, kadar penghunian yang dilaporkan oleh ahlinya semasa cuti Hari Pekerja–Hari Raya Aidilfitri dan hujung minggu Wesak, adalah 80% hingga 90%.

“Hotel di semua tempat pelancongan di luar Kuala Lumpur dan Selangor semuanya penuh,” kata Subramaniam.

Pada hari biasa, kadar penghunian antara 50% dan 60%.

Beliau berkata, kebanyakan hotel di Pantai Timur, Melaka dan Pulau Pinang melaporkan penuh dengan majoriti pelanggan mereka tinggal atau bekerja di Kuala Lumpur dan Selangor pulang ke kampung halaman.

Beliau berkata sebelum Raya, sebelum sekatan perjalanan ditarik balik, kadar penghunian hotel di negeri itu hanya 30% hingga 40%.

Subramaniam berkata, ahlinya boleh mempunyai kadar penghunian 100% tetapi ramai yang “tidak berani” menjual bilik itu kerana kekurangan kakitangan.

Beliau berkata, sesetengah hotel tidak dapat memenuhi servis bilik mereka.

Kekurangan itu, kata Subramaniam, juga disebabkan hotel sukar memujuk mereka yang diberhentikan supaya kembali bekerja.

“Bukan mudah untuk memujuk balik pekerja yang sudah diberhentikan.”

Industri perhotelan antara yang paling terjejas teruk susulan perintah kawalan pergerakan dua tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2022.

Selain itu, beliau berkata, kekurangan itu juga disebabkan kenaikan gaji minimum pekerja baru-baru ini kepada RM1,500 sebulan.

Ia menyebabkan pengusaha hotel berkira-kira kerana mereka cuba mengimbangi kewangan mereka.

“Situasi amat teruk. Pengusaha hotel meminta pekerja asing tetapi pihak berkuasa belum meluluskannya,” kata Subramaniam.

Sebagai langkah jangka pendek, beliau merayu kerajaan membenarkan hotel mengambil pelajar secara sambilan sehingga pekerja asing itu dibenarkan bekerja.

Pengerusi MAH Johor, Ivan Teo berkata, pengusaha hotel di negeri itu gembira apabila menyedari pemulihan industri itu berada di landasan yang baik.

Beliau berkata, hotel di Johor sudah dua tahun tidak menerima pelancong Singapura dan cuti panjang memberi mereka sebab untuk optimis untuk pulih.

Bagi Teo, tempoh satu bulan – dari 1 April apabila kerajaan menarik balik sekatan perjalanan hingga ke Hari Pekerja pada 1 Mei – masa yang terlalu singkat buat industri mengambil semula kakitangan dalam persekitaran yang sukar.

Apa yang berlaku di Johor, katanya, pelanggan memasuki bilik yang belum dibersihkan sepenuhnya.

“Nasib baik pelanggan tidak merungut. Mereka memahami kesukaran yang kami hadapi,” katanya.

Teo berkata, kebiasaannya mengambil masa sejam untuk mengemas bilik yang dikosongkan.

Namun disebabkan kekurangan pekerja, beliau berkata, pelanggan hanya boleh mendaftar masuk pada jam 4 petang, 5 petang atau 6 petang berbanding waktu biasa jam 1 petang.

Hotel di Johor, seperti di negeri lain, tidak menjual 100% bilik mereka, kata Teo, sambil menambah mereka hanya mengekalkan penghunian pada kadar 70% hingga 75%.

Teo berkata, hotel bertaraf tiga bintang dan empat bintang paling teruk terjejas akibat kekurangan kakitangan di negeri itu.

Hotel bertaraf lima bintang atau ke atas, yang mampu membayar gaji lebih tinggi dan berjaya menarik pekerja, paling kurang terjejas disebabkan masalah itu, katanya.

Menyentuh saranan Subramaniam, Teo turut menggesa Putrajaya membenarkan pelajar bekerja sambilan di hotel berkenaan.

Ada pengusaha hotel terpaksa memakai pakaian seragam pekerja untuk membersihkan bilik hotel susulan permintaan tinggi baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2022.

“Berbanding tempat kerja lain, tempat kerja di hotel kurang bahaya dan pelajar boleh mengalami kehidupan bekerja dan memperoleh sedikit wang saku pada masa sama,” katanya.

“Hotel Johor sangat bergantung kepada warga Singapura dan kami tidak mahu memberi tanggapan buruk kepada warga Singapura kerana kekurangan kakitangan.”

Beliau berkata, hotel di negeri itu, seperti kebanyakan negeri lain, terpaksa memberhentikan 70% kakitangan mereka apabila sekatan perjalanan dikenakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengusaha hotel perlukan rehat

Jarod Chia, pengerusi Persatuan Hotel Bajet & Perniagaan Malaysia (MyBHA) bahagian Johor mendedahkan peningkatan mendadak pelanggan semasa cuti panjang itu menyebabkan beberapa pengusaha hotel terpaksa memakai pakaian seragam pekerja untuk mengemas bilik.

“Ada yang meminta bantuan hotel lain dengan meminjamkan kakitangan mereka manakala ada yang pergi ke tepi jalan mencari orang yang mahukan kerja sambilan.”

Chia berkata, disebabkan hotel tidak mempunyai bisnes sepanjang tempoh PKP, kebanyakan hotel Johor hanya mengekalkan seorang kakitangan perkhidmatan.

Beliau berkata, hotel memaksa kakitangan dari jabatan lain untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan, seperti kakitangan meja penyambut tetamu membantu dengan perkhidmatan bilik, dalam keadaan yang luar biasa.

Chia juga mengeluh mengenai gaji minimum baharu.

Katanya, ia dilaksanakan pada masa yang kurang tepat.

Industri perhotelan tidak mempunyai perniagaan selama dua tahun, selepas penarikan balik sekatan perjalanan dan pembukaan semula sempadan negara hanya dibuat baru-baru ini, katanya.

“Pelancong (asing) belum datang lagi.

“Kerajaan tidak memberi kami rehat. Kami hanya mula melihat pelanggan dalam jumlah besar pada Mei.

“Selepas cuti, kadar penghunian hari bekerja hotel turun kepada 25%.”

Chia kini merayu kepada kerajaan persekutuan untuk mengecualikan pelaksanaan gaji minimum ke atas industri perhotelan.

“Tolonglah dengar permintaan kami,” katanya. – 30 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen