SEORANG lagi banduan, Muhammad Syafiq Rohmat yang melarikan diri dari Penjara Jelebu bulan lalu berjaya ditahan di sebuah bengkel kenderaan di Assam Jawa, Kuala Selangor, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Ramli Kasa berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan bersama dua lagi lelaki masing-masing berusia 23 tahun kira-kira jam 5.30 pagi, 26 Mei lalu.
“Bertindak atas maklumat awam, pengadu bersama pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) dan Balai Polis Kuala Selangor menahan tiga lelaki.
“Dalam tangkapan sama, polis merampas lapan peket lutsinar berisi disyaki heroin seberat 455.6 gram dan dua paket disyaki syabu seberat 24gm. Nilai rampasan dadah berjumlah RM17,400,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, Muhammad Syafiq diserahkan kepada ibu pejabat polis daerah Jelebu untuk tindakan lanjut.
Pada 18 April lalu, enam banduan yang ditahan semula itu didakwa di Mahkamah Majistret Bahau atas kesalahan melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia, namun mereka tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Dilaporkan siasatan polis mendapati kejadian kira-kira jam 6 pagi pada 10 April itu berlaku di Blok Muhasabah 2, institusi berkenaan yang mana semua tujuh banduan terbabit ditempatkan. Mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi menuju semak di belakang penjara itu. – Bernama, 28 Mei, 2022.
Komen