“BERANAK sahaja, jangan tunggu!” “Kita perlu kuatkan rasa cinta dan banyakkan bayi!”
Serbia telah mengumumkan pemenang slogan yang diwujudkan bagi membantu kempen meningkatkan kadar kalahiran bayi di tanah Balkan itu.
Negara itu mengalami penurunan populasi sebanyak 10 peratus setiap tahun.
Kempen itu dijangka bermula dengan “serta merta,” kata jurucakap wanita kementerian yang menguruskan hal-hal demografik Serbia itu.
Tempat kedua pertandingan itu dimenangi slogan “Mak, saya tak suka bersendirian. Ayah, saya nakkan adik lelaki.”
Bersama dengan itu, slogan “Cukup-cukuplah cakap banyak! Biarkan teriakan bayi yang didengarkan!” turut menarik juri.
Menurut jabatan perangkaan negara itu, populasi penduduk yang menua menurun sekitar 36,000 orang setiap tahun.
Pada 2016, 100,834 orang meninggal dunia sedangkan kelahiran baharu cuma 64,734 orang sahaja.
Selain itu, “penghijrahan cendekiawan” turut mengakibatkan pemuda Serbia keluar negara untuk mencari dan membina nafkah serta kehidupan baharu.
Bagaimanapun, rancangan kempen itu juga menimbulkan kemarahan timbalan perdana menteri Serbia Zorana Mihajlovic yang memberi amaran ianya boleh jadi “tidak produktif.”
“Kebanyak slogan yang dipilih itu memerlukan kaum wanita melahirkan anak,” katanya seperti dipetik oleh media tempatan Beta.
Sebelum ini, Mihajlovic lantang bersuara terhadap Gereja Ortodok Serbia berkaitan kelahiran dan pengguguran yang mana sangat ditentang oleh puak agama konservatif.
Pada Oktober lalu, pemimpin gereja, Patriarch Irinej, telah berunding dengan Presiden Aleksandar Vucic berhubung “kadar kelahiran rendah” di negara itu. – AFP, 17 Februari, 2018.
Komen