Pengasas Depeche Mode Andy Fletcher meninggal dunia


Andy Fletcher, pemain keyboard dan pengasas bersama Depeche Mode telah meninggal dunia pada Khamis, umum kumpulannya. – Gambar EPA, 27 Mei, 2022.

PENGASAS kumpulan muzik British Depeche Mode, Andrew Fletcher, 60, dilaporkan meninggal dunia pada Khamis, umum anggota kumpulannya.

Melalui Twitter, kumpulan itu meluahkan rasa terkejut, sedih yang teramat sangat dengan pemergian sahabat tercinta, anggota keluarga dan pemain keyboard Depeche Mode.

“Hati Fletcher sangat suci murni. Beliau akan sentiasa memberikan sokongan, lepak yang meriah, gelak ketawa, atau dengan bir sejuk.”

Dilahirkan pada 1961 di Nottingham, Fletcher ialah seorang pemain papan kekunci dan salah seorang pengasas perintis elektronik Depeche Mode.

Kumpulan itu telah menjual lebih 100 juta album sejak ditubuhkan pada 1980, menangkap hati rakyat dunia dengan lagu hit seperti “Personal Jesus” atau “Just Can’t Get Enough”.

Nama Depeche Mode menjulang naik rentetan lagu-lagu popular mereka pada 1980-an dan awal 1990-an, yang pada mulanya sinonim dengan synthpop tetapi kemudian secara beransur-ansur beralih ke arah ambien yang lebih gelap.

Fletcher telah dipilih ke dalam Rock and Roll Hall of Fame bersama-sama anggota Depeche Mode yang lain pada 2020.

Album studio terakhir kumpulan itu “Spirit” diterbitkan pada 2017, dengan hit seperti Where’s the Revolution dan Going Backwards.

Dalam wawancara dengan AFP menjelang pelancarannya, ahlinya berkata mereka berbangga kerana telah menarik pendengar genre lain, termasuk peminat rock yang jarang melangkah ke kelab tarian.

“Salah satu warisan kami ialah menjadikan muzik elektronik popular kepada orang ramai,” kata Fletcher.

Ribuan rakan artis meratapi pemergian seniman itu secara dalam talian pada Khamis.

Lol Tolhurst, pemain dram The Cure, berkata ia adalah “berita yang sangat menyedihkan”.

“Saya kenal Andy dan anggapnya sebagai kawan. Kami jumpa banyak kali waktu muda dahulu. Segala doa buat ahli keluarga mendiang,” tulisnya di Twitter.

Fletcher meninggalkan seorang isteri dan dua anak. – AFP, 27 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen