EU usaha pembelian bersama vaksin cacar monyet


Kes cacar monyet kini dikesan di hampir 20 negara lain di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, Emiriah Arab Bersatu dan 11 negara EU. – Gambar AFP, 27 Mei, 2022.     

EU sedang berusaha untuk memusatkan pembelian vaksin dan rawatan untuk cacar monyet dengan butiran yang akan dipersetujui pada masa akan datang, kata Suruhanjaya Eropah kepada AFP semalam.

Desakan melalui Pengusaha Kesediaan dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan (Hera) itu dibuat apabila agensi penyakit EU berkata jumlah kes cacar monyet di seluruh dunia mencecah 219 kes.

Bekas anggota EU Britain mempunyai jumlah kes tertinggi iaitu 71 diikuti oleh Sepanyol 51 dan Portugal 37.

Jurucakap suruhanjaya itu bagi isu kesihatan Stefan De Keersmaecker memberitahu AFP bahawa Hera sememangnya bekerjasama dengan negara anggota dan dengan pengeluar bagi mendapatkan vaksin dan terapeutik untuk cacar monyet.

Sebanyak 27 negara EU bersetuju bahawa Hera akan mendapatkan suntikan secepat mungkin sambil menambah prosedur tepat akan ditentukan dengan negara anggota dalam beberapa hari akan datang. 

Walaupun EU sudah mengambil peranan sebagai penyelaras dan pra-pembeli berbilion dos vaksin Covid-19 untuk negara anggotanya, De Keersmaecker berkata situasi cacar monyet berbeza.

Pemberian vaksin cacar monyet akan dihadkan kepada kes yang sangat spesifik kerana kebolehjangkitan dan risiko daripada virus itu tidak setanding dengan Covid.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) berkata dalam kemas kini semalam bahawa walaupun jumlah kes meningkat lima kali ganda sejak seminggu lalu namun risiko penularan kekal “sangat rendah”.

Endemik di beberapa negara Afrika barat dan tengah, kes cacar monyet kini dikesan di hampir 20 negara lain di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, Emiriah Arab Bersatu dan 11 negara EU. – AFP, 27 Mei, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen