SEKURANG-KURANGNYA 12 orang yang dijatuhkan hukuman penjara kerana mengambil bahagian dalam protes antikerajaan besar-besaran pada Julai lalu diringankan hukuman selepas membuat rayuan, kata pertubuhan hak asasi manusia semalam.
Banduan itu dibebaskan ke pusat pemulihan terbuka di mana mereka akan menjalankan khidmat masyarakat yang diawasi pada waktu siang.
“Dalam beberapa hari kebelakangan ini terdapat pembebasan,” kata kumpulan Justicia 11J yang membela tahanan politik menerusi Facebook mereka.
Justicia 11J berkata seramai 730 orang yang ditahan selepas protes pada 11 hingga 12 Julai lalu masih berada di dalam penjara.
Mereka berkata 11 banduan berusia 18 hingga 36 tahun termasuk empat di bawah umur 20 tahun dibebaskan minggu lepas.
Kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di Miami, Cubalex berkata seorang lagi banduan, model muda bernama Andy Garcia dibebaskan di bandar Villa Clara.
“Dia akan bersama keluarganya sehingga dipindahkan ke rejim terbuka di mana dia akan menjalani baki hukumannya,” kata Cubalex menerusi Twitter.
Bantahan yang tidak pernah dibuat sebelum ini berlaku di seluruh negara pada Julai lalu dengan penunjuk perasaan menuntut kebebasan dan pihak berkuasa menghalang protes dengan keras menyebabkan seorang maut, berpuluh-puluh cedera dan hampir 1,400 orang ditahan.
Aktivis Martha Beatriz Roque menyifatkan pembebasan ini sebagai “rekaan” memandangkan banduan kekal sebagai banduan. – 27 Mei, 2022.
Komen