Bekas pengarah muzium Perancis didakwa kes pemerdagangan karya seni


Kes terhadap bekas presiden muzium Louvre di Perancis dibuka pada Julai 2018, dua tahun selepas cawangan Louvre di Abu Dhabi membeli sebuah tugu granit menggambarkan firaun Tutankhamun dan empat karya bersejarah lain dengan harga AS$8.5 juta. – Gambar AFP, 26 Mei, 2022.

BEKAS presiden muzium Louvre di Paris didakwa bersubahat untuk menyembunyikan asal usul khazanah arkeologi Mesir yang disyaki penyiasat telah dikeluarkan dari negara itu semasa kebangkitan Arab Spring, kata sumber kehakiman Perancis pada Khamis.

Jean-Luc Martinez didakwa pada Rabu selepas disoal siasat berkaitan karya seni Mesir bersama dua lagi pakar Perancis, yang bagaimanapun tidak didakwa, kata sumber rapat dengan siasatan kepada AFP.

Kes itu dibuka pada Julai 2018, dua tahun selepas cawangan Louvre di Abu Dhabi membeli sebuah tugu granit merah jambu langka yang menggambarkan firaun Tutankhamun dan empat karya bersejarah lain dengan harga lapan juta euro (AS$8.5 juta).

Martinez, yang mengendalikan Paris Louvre dari 2013 hingga 2021, dituduh menutup matanya terhadap sijil palsu karya tersebut, penipuan yang dikatakan melibatkan beberapa pakar seni lain, menurut laporan penyiasatan mingguan Canard Enchaine.

Beliau telah didakwa bersubahat dalam penipuan dan “menyembunyikan asal usul karya yang diperoleh secara jenayah melalui pengesahan palsu,” menurut sumber kehakiman.

Tindakan itu dibuat selepas pemilik galeri Jerman-Lubnan yang menjadi perantara penjualan itu ditangkap di Hamburg pada Mac dan diekstradisi ke Paris untuk disoal siasat dalam kes tersebut.

Penyiasat Perancis mengesyaki beratus-ratus artifak telah dicuri semasa protes Arab Spring yang melanda beberapa negara Timur Tengah pada awal 2010-an, dan kemudian dijual kepada galeri dan muzium yang tidak tanya banyak soalan tentang pemilikan asal. – AFP, 26 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen