Syarikat Singapura didakwa kerana berdagang dengan Korea Utara


Sejak memutuskan hubungan dagang dengan Korea Utara, masih ada beberapa syarikat Singapura yang melanggar undang-undang dengan membekalkan rejim komunis tersebut dengan pelbagai barangan termasuk senjata, barangan mewah, terbaharu alkohol dan minuman bukan beralkohol. – Gambar EPA, 26 Mei, 2022.

DUA syarikat Singapura telah didakwa mengeksport wiski, wain dan minuman lain ke Korea Utara, kes terbaharu di republik itu berkaitan tuduhan dagang secara haram dengan rejim komunis itu.

Pyongyang telah dikenakan sekatan bertubi-tubi, termasuk daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berhubung ujian nuklear dan peluru berpandu balistiknya, manakala Singapura menggantung hubungan perdagangan dengan Korea Utara sejak 2017.

Syarikat 123 Holdings didakwa pada Rabu kerana membekalkan minuman beralkohol sebanyak lima kali ke Korea Utara, melalui China, antara November 2016 dan Julai 2017, menurut kertas pertuduhan.

Barangan itu— termasuk wiski Chivas Regal dan Johnnie Walker Black Label, vodka Smirnoff dan wain Australia, Chile dan Perancis—bernilai lebih 720,000 dolar Singapura ($520,000).

Syarikat kedua, 123 Duty Free, dikenakan lima pertuduhan kerana didakwa membekalkan minuman tanpa alkohol, termasuk kopi dan susu strawberi, ke Korea Utara dari April hingga Ogos 2018.

Kedua-dua syarikat berdepan denda yang tinggi jika sabit kesalahan.

Terdapat beberapa kes dalam beberapa tahun kebelakangan ini di mana syarikat dan individu dari Singapura didakwa kerana membekalkan barangan larangan ke Utara.

Pada 2019, mahkamah republik itu memenjarakan pengarah sebuah firma perdagangan Singapura selama hampir tiga tahun kerana membekalkan barangan mewah bernilai AS$4.4 juta, termasuk alkohol dan minyak wangi, ke Korea Utara.

Pada 2016, sebuah firma perkapalan di bandar itu telah didenda kerana peranannya dalam percubaan untuk menyeludup senjata dan jet pejuang era Soviet dari Cuba ke Utara.

Syarikat itu pada mulanya didapati bersalah atas dua pertuduhan, tetapi ia dibebaskan daripada satu pertuduhan atas rayuan dan dendanya dikurangkan.

Pada Rabu, Amerika Syarikat berkata ia akan mendapatkan sekatan baharu ke atas Korea Utara di PBB selepas rejim Kim Jong Un melepaskan tembakan peluru berpandu hanya beberapa jam selepas Presiden Joe Biden menamatkan lawatan ke Asia. – AFP, 26 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen