JUMLAH kes cacar monyet yang disahkan di seluruh dunia mencecah 219 membabitkan negara di luar kawasan jangkitan, menurut kemas kini oleh agensi penyakit Kesatuan Eropah (EU).
Beberapa negara di Eropah merekodkan kadar jangkitan cacar monyet luar biasa dengan kebanyakannya melaporkan sekurang-kurangnya satu kes, kata Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) dalam nota epidemiologi hari ini.
“Ini adalah kali pertama rantaian penularan dilaporkan di Eropah tanpa mengetahui epidemiologi mempunyai kaitan dengan negara di tengah dan barat Afrika, di mana penyakit ini adalah endemik,” menurut nota itu.
Menurut nota itu lagi, kebanyakan kes dikesan di kalangan lelaki muda, mengenal pasti diri sebagai lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.
United Kingdom – tempat wabak cacar monyet pertama kali dikesan pada awal Mei – kini merekodkan angka jangkitan terbesar dengan 71 kes.
Ia diikuti Sepanyol dengan 51 kes dan Portugal, 37.
Di luar Eropah, Kanada mencatatkan 15 kes manakala Amerika Syarikat merekodkan sembilan jangkitan.
Jumlah kes yang dilaporkan semalam meningkat lima kali ganda sejak agensi EU melaporkan 38 kes pertama pada 20 Mei.
Risiko penularan adalah “sangat rendah”, kata ECDC awal minggu ini, tetapi memberi amaran individu yang mempunyai banyak pasangan seksual – tanpa mengira orientasi seksual – adalah lebih berisiko.
“Pembentangan klinikal secara amnya digambarkan sebagai ringan,” menurut ECDC sambil menambah tiada sebarang kematian dilaporkan setakat ini.
Cacar monyet – penyakit yang kurang teruk berbanding cacar lain – adalah endemik di 11 negara di Afrika Barat dan Tengah. – AFP, 26 Mei, 2022.
Komen