SEBELAS bayi baharu lahir maut dalam kebakaran hospital di bandar Tivaouane, Senegal barat, kata presiden negara itu pada Rabu.
Sejurus sebelum tengah malam di Senegal, Macky Sall mengumumkan di Twitter sebanyak 11 bayi meninggal dunia dalam kebakaran itu.
“Saya dimaklumkan dengan kesedihan dan kekecewaan mengenai kematian 11 bayi yang baru lahir dalam kebakaran di jabatan neonatal hospital awam,” tulisnya di Twitter.
“Kepada ibu dan keluarga mereka, saya menzahirkan rasa simpati,” tambah Sall.
Tragedi itu berlaku di Hospital Mame Abdou Aziz Sy Dabakh di hab pengangkutan Tivaouane, dan berpunca daripada “litar pintas”, menurut ahli politik Senegal, Diop Sy.
“Api merebak dengan cepat,” katanya.
Datuk Bandar Demba Diop berkata tiga bayi berjaya diselamatkan.
Menurut media tempatan, Hospital Mame Abdou Aziz Sy Dabakh baru sahaja dirasmikan.
Kejadian serupa berlaku di bandar utara Linguere pada akhir April, apabila kebakaran berlaku di hospital dan empat bayi terkorban.
Datuk bandar berkata ia berpunca daripada kerosakan elektrik pada unit penghawa dingin di wad bersalin.
Bencana pada Rabu itu berlaku selepas lebih sebulan negara digemparkan dengan berita kematian seorang wanita hamil yang menunggu untuk pembedahan Caesar.
Pada awal April, seorang wanita hamil menunggu di hospital awam di bandar barat laut Louga untuk pembedahan Caesarean. Beliau meninggal dunia sebelum menerima rawatan perubatan.
Kematiannya menyebabkan gelombang kemarahan di seluruh negara mengenai sistem kesihatan awam Senegal yang teruk.
Tiga bidan dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada 11 Mei oleh Mahkamah Tinggi Louga kerana “kegagalan membantu orang dalam bahaya”.
Tiga lagi bidan dibebaskan. – AFP, 26 Mei, 2022.
Komen