SEKURANG-KURANGNYA 4 juta penduduk terjejas akibat banjir terburuk dalam tempoh hampir dua dekad yang berlaku di timur laut Bangladesh, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.
Kerajaan Bangladesh berkata banjir yang bermula minggu lalu, menenggelamkan 70% daerah Sylhet di timur laut dan 60% daerah Sunamganj, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dan kira-kira 2 juta terkandas.
Hujan lebat dan deras air dari hulu di timur laut India menyebabkan air sungai naik di Bangladesh, dengan dua sungai sempadan utama, Surma dan Kushiara, melimpah dan memusnahkan benteng serta menenggelamkan ratusan kampung.
Arifuzzaman Bhuiyan, ketua Pusat Ramalan dan Amaran Banjir yang dikendalikan kerajaan berkata kedua-dua sungai itu mencapai paras tertinggi yang pernah direkodkan sejak 1970-an.
“Ia adalah antara banjir terburuk dalam sejarah timur laut negara,” katanya.
“Paras air di kedua-dua sungai mencecah kira-kira 1.75 meter di atas paras bahaya pada ketinggian banjir minggu lalu.”
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menyifatkan tahap kerosakan lebih tinggi dengan “lebih 4 juta orang” di lima daerah di timur laut negara itu terjejas akibat banjir.
“Kerosakan kepada nyawa, rumah dan sekolah amat menyayat hati. Dalam bencana ini, seperti kebanyakan yang lain, kanak-kanak adalah yang paling terdedah,” kata Sheldon Yett, Wakil Unicef ke Bangladesh.
Bangladesh menutup semua sekolah dan kolej di rantau ini.
Sekurang-kurangnya 350 sekolah dijadikan tempat perlindungan dengan lebih 8,500 orang yang terjejas banjir mendapatkan perlindungan bersama binatang ternakan mereka.
Tetapi Netai De Sarker, pegawai kanan pengurusan bencana, berkata keadaan banjir bertambah baik, dengan air surut dari kawasan utara, walaupun 1.23 juta orang masih terkandas setakat Isnin.
Beliau berkata kerajaan menghantar 140 pasukan perubatan untuk merawat penduduk terjejas banjir dan membantu mencegah sebarang wabak penyakit bawaan air.
Banjir adalah ancaman biasa kepada jutaan orang di Bangladesh dan negara jiran timur laut India, tetapi ramai pakar berkata perubahan iklim menjadikan kejadian lebih kerap, teruk dan di luar jangka. – AFP, 26 Mei, 2022.
Komen