Trump lawat mangsa tembakan rambang sekolah


Donald Trump dan Melania Trump melawat Broward Health North Hospital, di mana pegawai White House berkata mereka berterima kasih kepada kakitangan perubatan “untuk bantuan menyelamatkan nyawa dilakukan mereka.” – Gambar AFP, 17 Februari, 2018.

PRESIDEN AS Donald Trump dan Wanita Pertama Melania Trump melakukan kunjungan hormat ke sebuah hospital di Florida kepada mangsa tembakan massa sebuah sekolah yang mengorbankan 17 nyawa.

Pasangan itu melawat Broward Health North Hospital, di mana pegawai White House berkata mereka berterima kasih kepada kakitangan perubatan “untuk bantuan menyelamatkan nyawa dilakukan mereka.”

Pasangan itu juga dijangka melawat pejabat sheriff Broward Country “untuk bertemu dengan pengawai penguatkuasa yang sangat berani menyelamatkan nyawa.”

Lawatan Trump ke hospital tidak diumumkan lebih awal.

Presiden AS itu menghabiskan cuti panjang hujung minggu Hari Presiden di resort Mar-a-Lago miliknya, yang jaraknya hanya 45 minit dari Parkland, tempat kejadian tembakan rambang itu berlaku.

Seorang bekas pelajar bermasalah, Nikolas Cruz, 19, mengaku menembak mati 17 orang di Marjory Stoneman Douglas High School pada Rabu, kejadian tembakan terburuk pernah berlaku di negara itu sejak Sandy Hook enam tahun lalu.

Menangani krisis itu, Trump berikrar menangani masalah kesihatan mental dan keselamatan sekolah tetapi masih belum menyentuh mengenai kawalan pemilikan senjata api.

Kekejaman terbaru itu mencetuskan kembali isu undang-undang senjata api AS, Trump- presiden pertama untuk berucap di depan kumpulan pelobi berkuasa National Rifle Association- terang-terangan menentang kawalan tambahan.

Dalam ucapan disiarkan televisyen ke seluruh negara pada Khamis, Trump mencadangkan punca masalah tembakan massa yang kerap berlaku di AS adalah krisis kesihatan mental- hujah yang sering kali digunakan kumpulan menyokong kebebasan memilik senjata api.

Sejak Januari 2013, terdapat sekurang-kurangnya 291 kejadian tembakan di sekolah di negara itu- secara purata satu kejadian setiap minggu, menurut kumpulan pemantau Everytown for Gun Safety.

Sejak tembakan itu, Trump berdepan rayuan saudara mara mangsa termasuklah Lori Alhadeff yang kehilangan anak perempuannya berusia 14 tahun, Alyssa dalam kejadian terbaru itu.

“Kita perlu tindakan! Tindakan! Tindakan!” gesa Alhadeff dalam sebuah wawancara dengan CNN yang merayu Trump, seorang bapa kepada anak lelaki berusia 11 tahun.

“Mari lindungi Barron dan mari lindungi semua kanak-kanak lain di Parkland, di Florda dan semua orang di semua tempat,” katanya. – AFP, 17 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen