Twitter didenda AS$150 juta langgar privasi pengguna


Twitter didakwa mengambil nombor telefon atau alamat e-mel pengguna dengan alasan memperketatkan privasi tetapi kemudian membenarkan pengiklan menggunakan butiran itu untuk iklan bersasar. – Gambar EPA, 26 Mei, 2022.

TWITTER bersetuju membayar AS$150 juta untuk menyelesaikan dakwaan platform itu memberi pengiklan beberapa maklumat pengguna yang sepatutnya digunakan bagi mengukuhkan keselamatan akaun, kata pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.

Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan dan Jabatan Kehakiman mendakwa Twitter mengambil nombor telefon atau alamat e-mel yang diberi untuk memperketatkan privasi tetapi kemudian membenarkan pengiklan menggunakan butiran itu bagi membuat wang.

“Twitter memperoleh data daripada pengguna dengan alasan untuk menggunakannya bagi tujuan keselamatan tetapi akhirnya menggunakan data itu untuk menyasarkan pengguna dengan iklan,” kata pengerusi suruhanjaya Lina Khan dalam satu kenyataan.

Maklumat peribadi yang pengguna serahkan kepada syarikat teknologi, dan cara data itu digunakan, adalah konflik berulang antara pengawal selia dan firma berkuasa seperti syarikat induk Facebook Meta, Twitter dan lain-lain.

Pertelingkahan mengenai privasi mengakibatkan saman atau penyelesaian berkala tetapi pengkritik sekian lama meminta pengemaskinian menyeluruh peraturan AS mengenai cara data individu dikendalikan dalam talian.

Dalam tempoh lima tahun yang berakhir pada 2019, lebih 140 juta pengguna Twitter memberikan nombor telefon atau alamat e-mel kepada perkhidmatan yang berpangkalan di San Francisco untuk membantu melindungi akaun dengan pengesahan dua faktor, kata pengawal selia.

Teknik keselamatan melibatkan penambahan kata laluan dengan kod yang dihantar melalui mesej teks atau e-mel.

Tanpa memberitahu pengguna, Twitter membenarkan pengiklan menggunakan maklumat peribadi untuk menyasarkan iklan, kata FTC, yang bekerjasama dengan pendakwa raya persekutuan untuk meneruskan kes terhadap firma teknologi itu.

“Pengguna yang berkongsi maklumat peribadi mereka mempunyai hak untuk mengetahui sama ada maklumat itu digunakan bagi membantu pengiklan menyasarkan pelanggan,” kata Peguam AS Stephanie Hinds dalam satu kenyataan.

Selain persetujuan membayar AS$150 juta, Twitter akan melaksanakan langkah baharu termasuk program privasinya dinilai secara berkala oleh penilai bebas, kata perjanjian penyelesaian itu.

“Memastikan data selamat dan menghormati privasi adalah sesuatu yang kami amat ambil serius, dan kami bekerjasama dengan FTC setiap langkah,” kata ketua pegawai privasi Twitter Damien Kieran dalam catatan blog.

“Kami sudah menyelaraskan dengan agensi mengenai kemas kini operasi dan penambahbaikan program untuk memastikan data peribadi orang ramai kekal selamat dan privasi mereka dilindungi,” tambahnya, sambil menyatakan penalti sudah dibayar.

Penyelesaian itu, yang perlu diluluskan oleh hakim, juga memerlukan Twitter memaklumkan semua pengguna Twitter sebelum hujung 2019 mengenai perjanjian dan pilihan untuk melindungi privasi mereka. – AFP, 26 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen