Penyokong Imran Khan dihalang sertai 'perarakan kebebasan' di Islamabad


Sejak disingkirkan menerusi undi tidak percaya di Parlimen pada April, Imran Khan menganjurkan perhimpunan besar-besaran di seluruh Pakistan dan menolak kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Shehbaz Sharif. – Gambar AFP, 25 Mei, 2022.

KETEGANGAN melanda kebanyakan bandar di Pakistan pada Rabu apabila penyokong bekas perdana menteri Imran Khan dihalang memasuki Islamabad untuk menyertai perarakan besar-besaran.

Pihak berkuasa Pakistan menyekat laluan dengan menggunakan kontena dan blok konkrit untuk menghalang beribu-ribu penyokong menyahut seruan Imran menyertai Azadi March (perarakan kebebasan).

Ramai pekerja dan pemimpin parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) ditahan di wilayah Punjab, menurut maklumat yang dikongsi PTI di media sosial.

Pada Selasa, kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan perhimpunan diadakan di Islamabad, namun tidak diendahkan Imran dan penyokongnya.

Imran mengetuai perarakan dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

“Kami akan kekal di Islamabad sehingga pengumuman tarikh pembubaran Parlimen dan pilihan raya dibuat,” katanya. – Bernama, 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen