Vediward bantu kurangkan kemalangan lori


Vediward dibangunkan bagi membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya terutama membabitkan lori dan kenderaan berat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2022.

SEKUMPULAN penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya membangunkan prototaip pengesan dan penggera ketidakstabilan lori yang dinamakan ‘Vediward’ bagi membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya dan menyelamatkan nyawa.

Kumpulan penyelidik itu diketuai pensyarah kanan UTeM, Dr Mohamad Hafiz Harun dan disertai enam penyelidik dari fakulti sama Ahmad Zul Husni Che Mamat, Dr Fauzi Ahmad, Mohd Hanif Che Hasan, Mohammad Rafi Omar, Qamar Fairuz Zahmani dan Muhammad Rabbani Abd Rasid.

Mohamad Hafiz berkata, pembangunan prototaip berkenaan bertujuan mengurangkan kes kemalangan jalan raya disebabkan faktor kecuaian manusia khususnya membabitkan pemandu lori atau kenderaan perdagangan.

“Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, punca utama berlakunya kemalangan jalan raya di negara ini disebabkan kecuaian manusia iaitu 80.6% diikuti keadaan jalan raya (13.2%) dan kenderaan (6.2%).

“Vediward satu alat pengesan dan penggera ketidakstabilan kenderaan yang efektif terutamanya apabila digunakan pada lori dan kenderaan perdagangan, sekali gus dapat membantu pemandu dalam mencegah kemalangan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Vediward dilengkapi sistem amaran menggunakan suara manusia yang jelas, sekali gus dapat membantu pemandu membetulkan pemanduan sebelum berlakunya kemalangan dan sistem amaran itu boleh disesuaikan mengikut pilihan bahasa yang mudah difahami pemandu.

Katanya, selain itu prototaip berkenaan mempunyai reka bentuk kompak dengan penggera yang mudah dilihat bagi memastikan pemandu menerima amaran awal yang jelas sebelum berlaku kemalangan.

Sementara itu, Ahmad Zul Husni berkata, Vediward juga berfungsi sebagai kotak hitam kenderaan yang menyimpan segala data pemanduan bagi memudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut berkaitan data pemanduan sebelum berlakunya kemalangan. – Bernama, 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen