Kematian 20 kucing di Terengganu kerana 'parvovirus', kata pakar


JPV Terengganu tidak menolak kemungkinan kucing itu dibuang selepas mendapati haiwan itu berpenyakit dan tidak boleh diselamatkan lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2022.

KEMATIAN 20 ekor kucing secara serentak di kawasan peranginan Pantai Bukit Keluang dekat Besut, Terengganu pada 6 Mac lalu bukan disebabkan racun, sebaliknya berpunca daripada jangkitan ‘parvovirus’.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Dr Anun Man berkata hasil ujian makmal yang dijalankan JPV dan Jabatan Kimia mendapati tiada sebarang kesan racun ditemukan pada sampel bangkai haiwan itu.

“Hasil ujian diagnostik yang dilakukan tidak mengesan kewujudan racun seperti yang disyaki, namun kucing itu disahkan positif jangkitan parvovirus yang boleh merebak dengan begitu cepat.

“Punca jangkitan ini kerana kucing itu tidak divaksin dan selain kucing, virus ini juga boleh menjangkiti anjing,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri JPV Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan kucing itu dibuang pihak tertentu selepas mendapati haiwan itu berpenyakit dan tidak boleh diselamatkan lagi.

“Namun tiada sebarang bukti yang boleh mengaitkan perbuatan ini dengan mana-mana pihak. Mungkin pemiliknya risau penyakit itu akan menular ke haiwan peliharaan yang lain, jadi langkah itu (membuang di pantai) diambil,” kata Dr Anun.

Video 20 ekor kucing yang mati bergelimpangan di Pantai Bukit Keluang tular di media sosial sebaik sahaja dimuat naik oleh seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada pagi kejadian, yang menimbulkan pelbagai reaksi daripada warganet.

Susulan itu, kakitangan JPV turun ke lokasi untuk membuat siasatan dan mengambil bangkai untuk dihantar ke makmal bagi mengetahui punca sebenar kematian. – Bernama, 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen