Tentera Ukraine ditangkap Rusia perlu dibicarakan dahulu, kata Moscow


Askar Ukraine ketika meninggalkan kilang keluli Azovstal selepas berminggu-minggu dikepung Rusia di bandar Mariupol, Ukraine. – Gambar EPA, 25 Mei, 2022.

TENTERA Ukraine yang ditawan perlu dibicarakan terlebih dahulu sebelum Moscow mempertimbangkan untuk bertukar tahanan dengan Kyiv, kata timbalan menteri luar Rusia.  

Andrei Rudenko berkata Moscow akan mempertimbangkan pertukaran tahanan dengan Kyiv selepas pasukan keselamatan Ukraine yang menyerah diri “dijatuhkan hukuman, dihukum dengan sewajarnya.”

“Sebelum apa-apa, terlalu awal untuk semua perbincangan mengenai pertukaran,” kata Rudenko kepada pemberita seperti yang dipetik agensi berita Rusia.

Minggu lepas, beratus-ratus pasukan Ukraine di bandar pelabuhan strategik Mariupol di tenggara negara itu menyerah diri selepas bertahan di kilang keluli Azovstal di bandar itu selama berminggu-minggu.

Antara pejuang Ukraine yang menyerah diri ialah anggota rejimen Azov, bekas unit separa tentera yang telah bergabung dengan angkatan tentera Ukraine.

Rusia menyifatkan unit itu, yang mempunyai hubungan sebelumnya dengan kumpulan haluan kanan itu sebagai organisasi neo-Nazi. – AFP, 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen