Tinjauan dapati ramai belia belum tetap politik, tapi BN pilihan utama


Ravin Palanisamy

KAJI SELIDIK oleh Architects of Diversity (AOD) mendapati sokongan golongan muda lebih cenderung kepada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Bagaimanapun, tinjauan melibatkan 3,089 responden itu juga mendapati sebahagian besar - 41 peratus - belia masih tidak pasti tentang pilihan politik mereka.

BN bagaimanapun menjadi parti pilihan responden.

“Lebih satu pertiga (41%) belia tidak membuat keputusan tentang pilihan politik mereka.

“Ada persaingan empat penjuru dalam kalangan undian belia di mana BN mendahului dengan margin tipis 15.5% sokongan,” kata pengasas bersama AOD Jason Wee pada sidang media hari ini.

Dalam tinjauan itu, Perikatan Nasional pimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin memperoleh undian kedua terbanyak dengan 13.8 peratus responden memilih parti-parti dalam gabungan itu.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di tempat ketiga dengan 11.9 peratus sokongan, manakala gabungan Pakatan Harapan pimpinan Anwar Ibrahim di tempat keempat dengan 10.5 peratus sokongan.

Ia diikuti Gabungan Parti Sarawak (GPS), memperoleh 4.3 peratus sokongan, sebelem diekori oleh Warisan (2%).

Pejuang hanya memperoleh 0.7 peratus sokongan responden, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) 0.4 peratus sokongan.

Daripada 15.5% sokongan kepada BN, 11.4% responden mengundi Umno, diikuti MCA (2.3%), PBRS (1.2%) dan MIC (0.5%).

Daripada 13.8% yang menyokong PN, PAS pilihan utama berbanding Bersatu.

Parti Islam itu mendapat 8.2% sokongan, diikuti Bersatu (3.1%), Gerakan (1.5%) dan STAR (0.9%).

Berkaitan PH, sokongan belia kepada PKR dan DAP hampir sama, di mana PKR mendapat 4.5% kepercayaan responden manakala DAP mendapat 4.4%.

Ahli gabungan PH lain Amanah mendapat sokongan 1.2% manakala UPKO 0.4%.

Dalam gabungan GPS, Parti Warisan Bumiputera Bersatu (PBB) mendahului dengan 1.5 peratus sokongan diikuti PRS (1.4%), SUPP (1.1%) dan PDP (0.3%).

Tinjauan bertajuk “Who will youth vote for” itu dijalankan selama dua minggu dari 22 Februari hingga 7 Mac tahun ini.

Ia dilakukan oleh AOD dengan kerjasama Undi18 dan Undi Negaraku.

Responden kaji selidik tersebut berumur antara 18 dan 30 tahun.

Kajian ini dilakukan sebagai sebahagian daripada #Undi100Peratus, kempen yang bertujuan untuk mencapai peratusan penuh keluar mengundi bagi golongan pengundi muda dalam pilihan raya akan datang.

Berdasarkan kajian, Jason berkata, 80 peratus daripada mereka yang ditinjau melaporkan niat untuk mengundi PRU15, manakala 13 peratus masih belum buat keputusan.

Dapatan itu juga menunjukkan 55% daripada 80% itu, tidak pernah mengundi sebelum ini. – 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen