Kerajaan UK benarkan penjualan Chelsea FC


Setiausaha Digital, Budaya, Media dan Sukan United Kingdom, Nadine Dorries berkata beliau telah mengeluarkan lesen membenarkan perjanjian penjualan Chelsea FC pada Selasa, sebaik sahaja mendapat kelulusan Premier League. – Gambar EPA, 25 Mei, 2022.

KERAJAAN United Kingdom (UK) pada Rabu berkata ia telah memberi lampu hijau kepada cadangan Todd Boehly untuk mengambil alih kelab bola sepak Chelsea daripada Roman Abramovich, oligarki Rusia yang telah disekat.

Setiausaha Digital, Budaya, Media dan Sukan Nadine Dorries berkata beliau telah mengeluarkan lesen membenarkan perjanjian itu pada Selasa, sejurus selepas ia mendapat kelulusan daripada Premier League.

“Kami berpuas hati hasil jualan itu tidak akan memberi manfaat kepada Roman Abramovich atau individu lain yang disekat,” tulis Dorries di Twitter.

“Memandangkan sekatan yang kami berikan kepada mereka yang dikaitkan dengan (Vladimir) Putin dan pencerobohan ke atas Ukraine, masa depan jangka panjang kelab hanya boleh terjamin di bawah pemilik baharu,” katanya.

Sebuah konsortium yang diketuai oleh Boehly, pemilik bersama Los Angeles Dodgers, telah pun bersetuju dengan rekod perjanjian £4.25 bilion (AS$5.3 bilion) untuk membeli kelab Premier League itu daripada Abramovich pada 7 Mei.

Premier League berkata kelulusannya bergantung pada lesen penjualan kerajaan “dan penyelesaian yang memuaskan bagi peringkat akhir transaksi”.

Pegawai mahu segala-galanya diselesaikan pada hari Selasa supaya Chelsea dapat memenuhi semua tarikh akhir pendaftaran untuk pertandingan bola sepak musim depan.

Abramovich menjual Chelsea di pasaran pada awal Mac, sejurus sebelum beliau disekat kerajaan British berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. – AFP, 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen